MAHKAMAH Sesyen Besut, Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan ke atas seorang bekas guru lelaki selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, tiga tahun lepas.
Hakim Ahmad Fadhli Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Anuar Yusoff, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan, namun hukuman penjara berjalan serentak, manakala hukuman sebat secara berasingan.
Ahmad Fadhli ketika membacakan penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira fakta kes, kesan trauma ke atas mangsa dan faktor kepentingan awam dalam membuat keputusan.
“Dalam kes ini, tertuduh didapati mengambil kesempatan atas kepercayaan mangsa dan ibunya yang membenarkan mangsa pergi bercuti bersama tertuduh tetapi melakukan perbuatan keji itu.
“Sepatutnya sebagai individu dewasa yang juga seorang guru, tertuduh perlu melindungi mangsa ketika itu yang masih di bawah umur,” katanya memetik laporan Bernama.
Ahmad Fadhli berkata, tertuduh juga diarah melakukan sesi kaunseling dan perlu menjalani pengawasan polis selepas selesai hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga seorang guru (ketika kejadian) didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun di dalam bilik Queen Fish D’Lagoon Pulau Perhentian, dekat sini, pada jam 3 petang, 29 Julai 2022.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada jam 1 pagi, 30 Julai 2022, di lokasi sama dan pertuduhan ketiga, dia didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa pada jam 5 pagi pada hari dan lokasi sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan tahap keseriusan kes, kesan trauma ke atas mangsa, selain sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nik Ismail Nik Lah merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas faktor sudah berkhidmat sebagai seorang guru selama 25 tahun selain menanggung dua orang anak termasuk orang kurang upaya (OKU) serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk lelaki itu telah dipanggil pada perbicaraan kes itu.
UNDILAH |



