Krisis TVET bakal gegarkan negara

SEBENARNYA kalau saya memikirkan mengenai sikap menteri dan sesetengah penjawat awam yang terlibat dalam mengendalikan dan menguruskan TVET di negara ini, saya malas untuk menulis isu tersebut.

Tambahan pula ada segelintir penjawat awam berkenaan tidak lagi ‘public friendly’ seperti dulu. Mereka merasakan terlalu pandai dan apabila tertekan bersikap seperti orang politik.

Saya berasa ‘rimas’ apabila membaca berita kononnya segalanya hebat mengenai TVET kebelakangan in. Gempak gempita  dicanangkan TVET ASEAN, TVET China dan macam-macam lagi yang hakikatnya, orang seperti kami yang sudah berpengalaman berpuluh tahun pastinya dapat menilai keberhasilan sebenar.

Bagaimanapun atas nama agama, bangsa dan negara, saya tulis juga hal TVET kali ini setelah melihat linangan air mata pelajar yang terpaksa berhenti belajar dan keresahan penyedia latihan swasta, majikan yang tertanya-tanya tentang bekalan tenaga kerja mahir yang sudah menunggu untuk meletup umpama bom Nagasaki dan Hiroshima serta Tsunami Aceh tahun 2004.

Ketika mereka melontarkan pelbagai isu TVET, saya berdiam diri atas sebab seperti yang dinyatakan dalam permulaan artikel ini kerana sikap mereka hanya ‘mengulangi masalah dan kesilapan silam’. Tidak mahu belajar daripada kesilapan.

Apabila ada media menghantar laporan yang perlu saya ulas berhubung isu itu, saya mempunyai rasa tanggungjawab untuk tidak membiarkannya menjadi masalah kepada agama, bangsa dan tanah air pada masa depan. Maka hari ini saya menulis lagi isu TVET.

Saya simpulkan di awal perbincangan ini ialah TVET Malaysia sedang berada di tahap krisis yang agak berat.

Saya dimaklumkan oleh beberapa persatuan berkaitan penyedia latihan swasta seperti Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah Swasta JPK Malaysia (FEMAC) serta Persatuan Pusat Bertauliah Bumiputera bahawa sekurangnya 10,000 pelatih kemahiran mereka hari ini gagal mendapat akses pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia sejak beberapa bulan lalu.

Kesannya, sebahagian pelatih mula mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana tidak mampu menanggung kos sara hidup serta masalah membayar yuran latihan.

Semua pihak berasa tidak puas hati dengan cara komunikasi dan pengendalian permohonan PTPK yang menjadi semakin kronik, berserabut dan mengenakan syarat-syarat baru sepanjang masa yang bersifat tidak masuk akal.

Malah, sampai ke satu tahap masing-masing mula bergasak melalui media sosial yang melambangkan ketegangan antara satu sama lain.

Peliknya, persatuan-persatuan ini juga mendakwa bahawa menteri berkaitan langsung tidak mahu menemui mereka sejak menjadi Menteri KESUMA walaupun permohonan untuk mengadakan pertemuan sudah dihantar banyak kali. Betulkah? Kita berharap akan ada reaksi daripada pak menteri terhadap dakwaan ini.

Penyedia latihan swasta mempersoalkan adakah Pekeliling terkini PTPK bertarikh 28 Oktober 2025 alasan Kementerian Sumber Manusia untuk menolak permohonan pinjaman pelajar.

Mengapa saya katakan TVET Malaysia sudah berada dalam krisis?

Pertama – pada saat-saat Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Majlis TVET Negara berkempen mencanangkan anak muda untuk memilih TVET, ramai anak muda yang menyahut seruan itu tetapi gagal diuruskan oleh kementerian yang berkaitan.

Kedua – Peruntukan tahunan yang diumumkan seolah-olah  semakin meningkat kepada lebih RM7 bilion masih tidak cukup kerana perbelanjaan mengurus termasuk gaji kakitangan institut latihan kemahiran awam (ILKA) yang tinggi menyebabkan kemasukan (enrolment) rendah, kualiti kemudahan tidak dapat ditambah baik serta peruntukan pinjaman untuk pelatih institut latihan kemahiran swasta (ILKS) tidak lebih 10 peratus sahaja (sekitar RM500 juta setahun)

Ketiga -Keperluan peluang latihan yang mengikut minat belia sukar ditampung oleh ILKA yang berpunca daripada kuota pengambilan yang terhad menyebabkan mereka memilih ILKS. Ada kes yang pernah saya tulis berkenaan ILKA yang hanya mempunyai kuota kemasukan 10 orang dalam satu bidang bagi setiap ambilan.

Keempat – Masalah tenaga pengajar berkelayakan yang sedang dihadapi juga adalah disebabkan kegagalan memperbaiki sistem pengurusan TVET  sejak 10 tahun kebelakangan yang tidak melihat perjalanan TVET yang lebih holistik. Banyak tindakan bersifat ad-hoc tanpa memikirkan kesan jangka panjang yang akhirnya memberi kesan kepada semua pihak.

Dalam erti kata lain, banyak masalah bawahan yang sedang meledak umpama gunung berapi, bukan sahaja melibatkan ILKS tetapi juga masalah di ILKA yang semuanya berkait-rapat antara satu sama lain.

Kerajaan terutama menerusi Majlis TVET Negara perlu memastikan ahli-ahlinya memberikan nasihat yang betul, realistik dan tidak bersifat akademik dalam merancang, melaksana dan memantau perjalanan TVET negara.

Memandangkan isu besar ini dijangka meledak tidak lama lagi, saya menasihatkan semua pihak terutama Menteri KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) untuk menemui persatuan-persatuan berkaitan serta-merta. Jangan bergantung kepada nasihat pegawai sahaja kerana bimbang nanti mereka akan mengungkit bahawa anda dipilih oleh rakyat seperti pengundi 18 tahun dan keluarga mereka dan jaringan pengusaha pusat latihan hingga boleh duduk di kerusi menteri.

Mangsa kepada krisis ini adalah pengundi 18 tahun PRU-16. Belajarlah daripada PRU-15 dahulu apabila majoriti pengundi 18 tahun tidak menyokong parti-parti dalam kerajaan Perpaduan.

Kepada pentadbir dan pengurusan terutama PTPK dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), anda wajib mengetahui bahawa persatuan-persatuan inilah yang pernah bekerja keras dan berkorban untuk menyusun semula struktur kerajaan sehingga wujudnya PTPK, JPK dan Akta Pembangunan Latihan Kemahiran Kebangsaan (NASDA) setelah peristiwa ‘ The Nightmare Of MLVK 2004’.

Kami lakukannya dengan linangan air mata. Saya sendiri pernah memimpinnya (rujuk rencana-rencana kolumnis Randau Demi Negara saya sebelum ini yang sedang dibukukan). Saya yakin Menteri dan sebahagian kakitangan PTPK dan JPK yang ada pada hari ini masih berhingus lagi ketika kami berjuang menubuhkan dan menstrukturkan PTPK, JPK dan NASDA suatu masa dulu.

Berdasarkan pengalaman, saya yakin, jika perkara ini diselesaikan dengan baik serta-merta, maka baiklah nasib kita semua.  Namun, jika gagal diselesaikan, tunggulah hukum Allah dan hukum karma yang menanti kepada mereka yang lalai dan alpa.

Saya sampaikan hasrat semua pihak yang sedang menderita sebagai saya orang lama yang sudah berpengalaman memimpin dan berkecimpung dalam TVET selama 30 tahun.

TVET  Malaysia memerlukan revolusi struktur bukan Suruhanjaya TVET atau ahli-ahli MTVET yang gagal memainkan peranan sebagai penasihat yang berkesan.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img