BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan beliau menerima notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Isnin depan.
Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata, notis berkenaan diterima kira-kira jam 3 petang semalam, dengan sesi rakaman percakapan dijadualkan pada pukul 10 pagi.
Beliau berkata, siasatan tersebut berkait dengan usaha sama kerajaan dengan sebuah syarikat teknologi global.
Beliau mendakwa, siasatan itu timbul susulan laporan dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Februari lalu yang mempersoalkan perjanjian berkenaan.
“Saya telah bersedia dengan pasukan peguam-peguam saya,” katanya.
Sebelum ini, bekas pembantu beliau, James Chai telah hadir memberi keterangan kepada SPRM selama tiga hari berturut-turut sejak Selasa lalu.
James diminta hadir berhubung siasatan perjanjian mega kementerian berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.


