Tahniah Fadhlina: Antara Subjek Mandarin dan Pendidikan Karakter

Oleh : Kamal Shukri Abdullah

BARU sahaja diumumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah bersedia untuk mewujudkan kelas bahasa Mandarin di sekolah kebangsaan, rendah dan menengah tertakluk kepada kuota minimum 15 orang perkelas atau permintaan ibu bapa.

Hal yang baik seperti ini sepatutnya telah lama dilaksanakan.  Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah pasti wajib dipelajari di semua jenis  institusi pendidikan sama ada rendah, menengah, kolej dan universiti, bukan sahaja sebagai satu subjek tetapi sebagai “bahasa penghantar” seperti tercatat dan dikehendaki oleh semangat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara ini.

Sepatutnya tiada kompromi langsung tentang ini.  Berapa ratus tahun lagi diperlukan bagi  tolak ansur  setelah kini negara 70 tahun merdeka (?) walaupun jika Penyata Razak dipatuhi sepatutnya hal ini sudah pun dibereskan pada tahun 1967, 10 tahun lepas merdeka, demi memartabatkan bahasa negara dan perpaduan dalam erti kata yang sebenarnya? Maka anak-anak belajar di bawah satu bumbung dengan bahasa penghantar yang sama. Alangkah cantik dan manisnya?

Bahasa Inggeris juga turut diajar sebagai bahasa asing yang penting di semua institusi peringkat rendah hingga di universiti.   Antara tujuannya agar anak Malaysia menguasai dua bahasa penting, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Inggeris iaitu salah satu bahasa antarabangsa yang penting.

Tambahan subjek bahasa Mandarin jika benar-benar dilaksanakan akan menjadi nilai tambah bagi pelajar dan juga sekolah kebangsaan terutama bagi pelajar bukan penutur asli Mandarin.

Walau bagaimanapun pengajaran bahasa Mandarin akan lebih menyeronokkan dan berkesan jika diajar sebagai bahasa untuk membolehkan komunikasi mudah seharian bagi pelajar.   Setidak-tidaknya selepas tamat pendidikan menengah pelajar umumnya dapat menguasai komunikasi seharian yang mudah dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun penguasaan bahasa Inggeris tetap perlu diberi perhatian utama kerana sehngga kini selepas kira-kira 11 tahun belajar, tahap penguasaan masih lemah sehingga cuba “dibaiki” dengan mengajar subjek berorientasi sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sungguh lucu, pelajar perlu belajar sains dan matematik menggunakan bahasa yang penguasaan mereka lemah.

Mandarin pula tidak  wajar dijadikan subjek untuk peperiksaan seperti subjek peperiksaan yang lain kecuali bagi pelajar Tionghua yang mahu menjadikan Mandarin subjek yang khusus.

Sistem penilaian juga mesti disediakan sebagai usaha menggalakkan pelajar belajar secara bersungguh  walaupun tanpa penilaian yang ketat. Kemudahan makmal bahasa untuk kegunaan semua subjek bahasa termasuk Mandarin sangat baik disediakan agar pengajaran lebih menarik dan berkesan.

Subjek Mandarin juga seharusnya tidak bertujuan  untuk dijadikan sebagai bahasa rasmi atau bahasa ketiga dalam jangka panjang.  Memadai dengan status sedia ada agar tiada tambahan bebanan kepada guru dan pelajar.

Mandarin akan menjadi seperti bahasa lain: Arab, Jepun, Perancis, Jerman dan Korea yang selama ini telahpun diajar di sekolah tertentu seperti sekolah berasrama penuh.

Guru bahasa Mandarin dipercayai dapat dibekalkan dengan cukupnya di sekolah dengan kerjasama semua pihak termasuk pelajar yang telah dihantar oleh Kementerian Pendidikan untuk pengkhususan bahasa Mandarin di universiti di China.  Tahniah, Menteri Pendidikan!

Merujuk subjek baharu yang dicadangkan iaitu Pendidikan Karakter, penulis berkongsi pandangan yang berbeza seperti beberapa tokoh lain.  Seingat penulis, satu ketika dahulu, apabila banyak kemalangan berlaku maka dicadangkan kementerian mengadakan subjek berkaitan keselamatan jalan raya.  Apabila ada banyak isu berkaitan pengguna dan hak-hak pengguna, dicadangkan pula subjek berkaitan kepenggunaan.

Kemudian, timbul pula isu berkenaan dengan seks, dicadangkan subjek pendidikan seks.  Terkini pelbagai masalah disiplin, karakter maka dicadang pendidikan karakter untuk membetulkan apa-apa yang silap sebelum ini.

Pertama sekali dinyatakan bahawa semua cadangan itu tidak salah, bagus, namun itu belum tentu cadangan yang terbaik.  Jelas Kementerian Pendidikan termasuk kementerian dan jabatan serta agensi lain di Malaysia banyak mengambil sikap reaktif.

Bertindak selepas sesuatu berlaku dan jarang sekali mengambil sikap proaktif, bertindak sebelum terjadi sesuatu.  Konsep mencegah lebih baik daripada mengubati seperti dilupakan.

Contoh mudah apabila basikal seorang menteri terjatuh ke dalam lubang barulah lubang ditampal sedangkan sudah berpuluh malah beratus basikal, motosikal dan kereta terlibat kemalangan akibat jalan  berlubang di seluruh negara sehingga ada yang maut seolah-olah tidak pernah diketahui?

Berapa banyak pula tempat tanpa lampu trafik menyebabkan kemalangan berpuluh-puluh kali barulah dipasang lampu trafik seperti di simpang selepas tol berhampiran  UPM (penulis di situ bertahun-tahun).

Satu ketika dahulu ada rungutan dan  kegelisahan termasuk daripada seorang ternama bahawa sekolah kebangsaan seolah-olah menjadi sekolah agama?

Banyak subjek agama Islam sehingga dikatakan berjumlah kira-kira 10 waktu seminggu sedangkan sebenarnya cuma tiga kali seminggu.  Doa harian seperti doa selamat, doa makan, doa ke tandas, doa semasa perhimpunan dirisaukan akan menjadikan sekolah kebangsaan sekolah agama atau murid bukan Melayu akan “terjadi” Islam selepas doa (?) sedangkan doa itu khusus untuk amalan pelajar Islam sahaja.  Malah doa dibaca untuk semua, seisi sekolah didoakan agar selamat.

Dalam hal ini  pelajar Islam turut mendoakan guru dan rakan bukan Islam mereka selamat.  Tidakkah itu satu perbuatan yang baik?  Tidakkah mereka yang bukan Islam juga mahu selamat semasa di sekolah?

Berbalik tentang Kementerian Pendidikan, malangnya wujud anggapan seolah-olah Kementerian Pendidikan mempunyai segala magis dan ubat yang mujarab untuk semua penyakit sedangkan  punca dan ubat juga ada pada pihak lain termasuk ibu bapa.

Peranan ibu bapa serta pelbagai kementerian, agensi swasta dan lain-lain patut disinergikan demi kesejahteraan pelajar.  Umpama masalah jenayah bukanlah tugas polis semata-mata, tetapi juga menjadi  tanggungjawab masyarakat secara bersama-sama.

Melihat masalah disiplin sebenarnya ibu bapa dan persekitaran termasuk masyarakat adalah umpama kertas litmas.  Sekolah bertanggungjawab tetapi hanya mempunyai masa yang terhad untuk memberi pengukuhan berkaitan semua hal termasuk disiplin dan karakter.

Subjek agama Islam dan Pendidikan Moral (bagi bukan Islam) dan Pendidikan Tatarakyat (Sivik) dapat merangkum banyak perkara sama ada berkaitan dengan disiplin, moral, karakter dan lain-lain.

Maka usaha menyemak semula kurikulum subjek agama Islam, Pendidikan Moral atau Tatarakyat lebih mudah dan membantu berbanding mewujudkan satu subjek lain.  Multivitamin yang telah ada hendaklah dimanfaatkan sebaiknya demi mencegah penyakit kronik.  Hanya pengisian kandungan multivitamin, jumlah dan kaedah pengambilan yang perlu diteliti demi keberkesanan khasiatnya.

 

  • Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img