Cukup-cukuplah menjulang bahasa negara lain di tanah air sendiri

Oleh : Kamal Shukri Abdullah Sani

DI Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  pernah berhujah tegas bahawa tidak perlu papan tanda pelbagai bahasa untuk menarik pelancong ke Malaysia seperti yang disaran oleh Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.

Lihat sahaja di pintu masuk Tokyo, Osaka, Paris atau London adakah pelancong disambut dengan papan tanda pelbagai bahasa? Tidak.  Jepun yang terkenal sangat mesra pengguna pun tidak menjadikan itu sebagai keutamaan  bagi pelancong antarabangsa yang ke sana.

Cukup-cukuplah idea untuk menyusui anak orang dan anak sendiri dibiar kelaparan.  Cukup-cukuplah menjulang bahasa negara lain di negara ini atas tiket antarabangsa yang pada masa yang sama memadam bahasa negara ini daripada dilihat, dibaca dan didengari lenggok badan dan bunyinya!.   Syabas Peradna Menteri atas rasional dan ketegasan dalam hal ini.

Dalam kes terbaru pada masa tersebut juga,  seperti yang diberitakan oleh Sin Chew dan China Press bahawa suspek kes pembunuhan seorang pelajar di sebuah sekolah tertekan dengan pembelajaran bahasa Melayu sehingga terpaksa dimasukkan ke kelas peralihan di sekolah tersebut.

Bahasa Melayu pula seolah-olah cuba dipersalah dan menjadi kambing hitam. Jika benar pun (tetapi kita yakin hal itu amat tidak betul), itu adalah kes pertama yang berlaku sejak 70 tahun merdeka dan tidak wajar dijadikan alasan untuk memberi reaksi negatif dan sebagai kesimpulan terhadap subjek bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Berpuluh ribu lagi pelajar tidak pun mengambil tindakan serupa sekalipun perasaan mereka mungkin juga tertekan.  Akhirnya hal itu seperti dilapor, dikatakan berkaitan dengan cinta yang tertolak.

Yang kita kesali ialah begitu cepat andaian dibuat bahawa bahasa Melayu adalah puncanya seolah-olah menggambarkan ada rasa kurang senang, kurang selesa terhadap bahasa negara yang tidak pernah berdosa kepada rakyatnya yang setia.

Pihak sekolah sewajarnya tahu mengendalikan proses pembelajaran bahasa Melayu agar menarik, mudah difahami dengan pedagogi, teks dan alat bantu yang kreatif. Malah jika diperhalusi, untuk menguasai tulisan  Mandarin lebih sukar dan memberi lebih stres terutama tulisannya yang perlu dihafal sebanyak kira-kira 2,000 bentuk tulisan atau lebih barulah kita dapat membaca dan memahaminya  kerana tulisan itu berbentuk piktograf.

Bahasa Melayu cuma ada 26 huruf sahaja, a hingga z dan 29 huruf jawi.  Bahasa Melayu juga kerana sifatnya yang menyamai transliterasi huruf, fonetik antarabangsa iaitu dieja sebagaimana disebut dan disebut sebagaimana dieja, maka menjadikan bahasa Melayu antara bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia.

Ini misalnya telah memungkinkan pekerja imigran dari Bangladesh, Vietnam, Nepal dan lain-lain menguasai bahasa Melayu komunikasi harian dengan mudah setelah cuma tiga, empat bulan berada di sini.

Jika setahun, mereka telahpun fasih dan lancar.  Itulah yang menghairankan kita  apabila masih terdapat rakyat negara ini tidak fasih bahasa negara sendiri seperti yang turut diakui keanehannya oleh Perdana Menteri sendiri baru- baru ini.  Jelas sikap tidak endah akan bahasa negara masih terbuku di hati walaupun lebih 70 tahun merdeka.

Ahli Parlimen pun banyak yang lebih lancar bahasa Inggerisnya berbanding bahasa negara ini. Bahasa Inggeris telah cuba dikuasai secara bersungguh- sungguh atas alasan bahasa dunia, bahasa antarabangsa.

Bagi golongan seperti itu, agaknya bahasa Melayu cukuplah sekadar dapat menyebut  “telima kasi”, salamat pagi dan sila makan?  Maka untuk menutup kelemahan berbahasa Melayu, maka dicadangkan papan tanda pelbagai bahasa atas alasan memudahkan pelancong antarabangsa dan domestik?

Ingatlah ini Malaysia, jika ini benar-benar negara anda kuasailah bahasa Melayu dan berbanggalah menggunakannya sebagaimana rakyat pelbagai bangsa di Indonesia, Thailand, Jepun, Vietnam dan China berbangga menggunakan bahasa mereka kepada para pelancong.

  • Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img