
”Rumusan : Amat Merisaukan “
ITULAH kenyataan ringkas Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali, Pengarah, Institut Pembangunan Dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) menerusi laman facebooknya sebaik sahaja tamat sesi meja bulat bertajuk Keterjaminan Makanan di Malaysia Dalam Menghadapi Krisis Global, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa hari lalu.
Apabila kenyataan keras dan tegas sedemikian dizahirkan oleh pakar ekonomi berpengalaman, sudah pasti ia menarik perhatian banyak pihak terutama dalam suasana ekonomi negara yang sangat tertekan akibat ketegangan geopolitik ketika ini.
Pelbagai pihak telah diundang ke sesi meja bulat tersebut yang terdiri daripada pakar ekonomi, ahli akademik, pelbagai agensi kerajaan, kumpulan penyelidik serta wakil persatuan yang menjadi pemain dalam industri sekuriti makanan.
Saya pula diundang sebagai antara ahli bagi tujuan perbincangan tersebut yang difahamkan akan menjadi rujukan juga kepada Minda UKM untuk menyampaikan pendapat dan saranan kepada kerajaan bagi menangani krisis global yang semakin ekstrem dan tidak menentu ketika ini dan masa hadapan.
Apa yang saya sampaikan adalah berdasarkan kemahiran dan pengalaman sebagai usahawan, aktivis masyarakat dan rakan strategik kerajaan dalam menjayakan program sekuriti makanan sejak 40 tahun lalu di dalam mahupun luar negara.
Ketika sesi tersebut, saya mengingatkan semua pihak supaya melihat cabaran krisis global sebagai satu ancaman serius yang memerlukan negara melakukan reset. Ia penting supaya sebarang krisis pada masa hadapan menjadikan kita benar-benar bersedia untuk menanganinya.

Pada pandangan saya, satu revolusi struktur perlu dilakukan melalui pelan gerak kerja serta mencapai hasil serentak yang bersifat jangka pendek (serta-merta), jangka sederhana dan jangka panjang.
Hasilnya nanti bukan sahaja sebagai usaha menangani kesan krisis global tetapi menjadi sumber ekonomi yang lebih menguntungkan serta dinamik kepada rakyat dan negara.
Saya turut menegaskan bahawa kunci kejayaan keterjaminan makanan adalah berteraskan dua perkara utama iaitu pembangunan pengeluaran dan bakat (tenaga mahir).
Memandangkan kepakaran saya dalam soal keterjaminan makanan ini lebih kepada pembangunan kemahiran tenaga kerja, maka saya memfokuskan kepada isu TVET pertanian dan perladangan di Malaysia serta senario sebenar.

Fakta dan data yang saya bentangkan menyedarkan semua pihak bahawa kita juga sedang berhadapan krisis tenaga kerja tempatan khususnya golongan muda yang melihat kerjaya pertanian dan perladangan sebagai bidang yang tidak menarik. Jika suatu masa dulu, pertanian dijulang menjadi sumber perniagaan dan kekayaan tetapi kini mereka melihat kerjaya petani sebagai kelompok miskin dan perniagaan merugikan.
Semua pihak sedar berhubung kegiatan pertanian oleh pendatang asing semakin berleluasa tetapi ada juga sesetengah pihak yang memuji mereka sebagai teladan kejayaan petani hari ini, terutama pemimpin politik dan sebilangan penjawat awam.
Namun mereka tidak sedar bahawa kesan buruk pendatang asing ini sudah menjadi ancaman keselamatan dan kedaulatan negara yang membolehkan kartel asing menguasai ekonomi negara.
Tanpa berselindung, saya turut memberi contoh, bagaimana wujudnya keresahan apabila ada migran Bangladesh yang sudah kaya dan dianggap ‘mafia korporat’ dikaitkan dengan ahli politik negara ini sehingga mencemarkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pandangan wakil pelbagai persatuan berkaitan sekuriti makanan di meja bulan itu memberi isyarat bahawa krisis sekuriti makanan akan menjadi lebih parah pada masa hadapan terutama berikutan kos pengeluaran yang meningkat berkali ganda.
Ia meyebabkan mereka sudah sampai ke tahap terpaksa mengalah dan meninggalkan sektor pertanian. Kalau begitulah keadaannya, mampukah keterjaminan makanan kita bertambah baik atau sebaliknya?
Atas faktor yang dilihat semakin merisaukan ialah jika tiada tindakan komprehensif dan bersepadu antara pembuat dasar, pelaksana dan pemain industri. Oleh itu keresahan semua pakar tersebut semakin menjadi kenyataan dan ia memerlukan tindakan pembetulan serta penjajaran semula dengan segera.
Perbincangan MINDA UKM yang diadakan itu bukan retorik atau perbincangan akademik semata-mata tetapi gambaran realiti yang kesannya sedang dirasai dan semakin buruk. Namun, jika kita sedar dan mempunyai iltizam yang tinggi, kerisauan ini boleh diperbetulkan tetapi memerlukan satu reset dan revolusi struktur yang tegas dan berani.
Sebelum terlambat, perbaiki segera kerana masa depan pada akhir zaman akan dengan penuh krisis seperti mana diperingatkan Allah SWT dan Rasul-Nya kepada kita.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosio-ekonomi.


