
TEKA-teki sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak secara solo atau tidak sudah terjawab apabila Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan, mereka hampir pasti bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Kata Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu, parti tersebut tidak akan bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen.
“Selama ini pun memang kita bergerak solo, iaitu pada PRU14 dan PRU15. Dalam keadaan akan datang, hampir pasti kita akan bergerak solo.
“Namun, kita ambil kira understanding (persefahaman) dengan parti-parti lain (luar BN), khususnya untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pertandingan tiga penjuru,” katanya dalam wawancara bersama wartawan Media Prima, semalam.
Beliau menambah, ketetapan tidak bertanding semua kerusi mengambil kira persefahaman dengan parti rakan.
“Pendekatan ini selari pengalaman UMNO dalam dua pilihan raya lalu, selain mengambil kira perjuangan semasa.
“Kita tidak perlu bertanding semua 222 kerusi. Kita bertanding kerusi yang kita boleh menang dan tidak berlawan dengan parti sahabat. Pertandingan banyak penjuru hanya akan melemahkan peluang mana-mana parti untuk raih kemenangan dominan.
“Jika terlalu banyak penjuru, ini tidak akan menjanjikan kemenangan kepada mana-mana gabungan,” katanya menambah pendekatan politik UMNO kekal fleksibel dalam memilih rakan kerjasama.
Bagaimanapun, tegasnya, parti tidak berkompromi dalam soal prinsip membabitkan kepentingan Islam, institusi Raja dan hak serta bahasa Melayu, iaitu garis asas tidak boleh dikompromi dalam apa jua bentuk kerjasama politik.
“Empat perkara ini bukan sekadar agenda Melayu atau Islam, tetapi agenda nasional yang termaktub dalam Perlembagaan dan dipersetujui dalam kerangka Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Kenyataan Ahmad Zahid itu secara tidak langsung bermaksud tidak mustahil selepas PRU-16, BN-UMNO akan meneruskan kerjasama mentadbir negara bersama Pakatan Harapan (PH).
Ia memandangkan Ahmad Zahid berkata,”mengambil kira persefahaman dengan parti rakan dan ‘’ Kita bertanding kerusi yang kita boleh menang dan tidak berlawan dengan parti sahabat’ – parti rakan, parti sahabat BN-UMNO ketika ini adalah PH.
Justeru walaupun bergerak solo, BN-UMNO tidak lagi bercita-cita mahu menjadi dominan walaupun soal dominan diperkatakan ketika Konvensyen 80 Tahun UMNO semalam. Sebaliknya BN-UMNO akan terus menjadi pelengkap jika berada dalam kerajaan nanti.
Adakah itu salah? Sudah pasti tidak! Kerana ketika ini BN-UMNO dilihat bekerjasama baik dengan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan. Jika ada isu berbangkit ia akan diselesaikan di meja rundingan seperti dalam isu kemelut politik di Negeri Sembilan.
Walaupun ada isu melibatkan antara pemimpin UMNO dan DAP, itu perkara biasa dalam kerjasama politik. Kalau Bersatu dan Pas dalam PN boleh tercetus ‘krisis’ apatah lagi UMNO dengan parti-parti dalam PH.
Apa yang penting sekarang, Ahmad Zahid sudah sahkan BN-UMNO bertanding solo dan tidak akan bertembung dengan ‘parti rakan’ dan ‘parti sahabat’.
Oleh itu ahli-ahli UMNO,penyokong BN tidak perlu pening-pening lagi. Mereka hanya perlu terus memberi sokongan kepada parti itu. Begitu juga penyokong PH, mereka tidak perlu takut mengundi BN kerana selepas PRU-16, BN-PH pasti bergabung jika mendapat kerusi mencukupi menubuhkan kerajaan.
Bukan ‘parti rakan’ dan bukan ‘parti sahabat’ BN-UMNO ialah Bersatu dan Pas. Maknanya pilihan raya nanti ia pasti menyaksikan pertembungan antara PH-BN melawan PN – itu sahaja.
Sikap Ahmad Zahid harus dipuji kerana beliau tidak berdolak-dalih dalam soal kerjasama khsususnya ketika dan selepas pilihan raya serta menjawab persoalan hubungan dengan PH bagi menghadapi PRU-16.
Sama ada strategi bertanding solo dan kemudian bergabung selepas pilihan raya akan menguntungkan BN-UMNO atau tidak, sama-sama kita tunggu. Begitulah juga bagaimana BN mahu memastikan parti komponen BN dan MIC mendapat kerusi untuk bertanding.
Ia memandangkan pasti ada kerusi yang akan bertembung dengan calon PKR dan DAP. Mungkin melalui taktikal Ahmad Zahid kedua-dua parti akan bersedia memberi laluan kepada MCA-MIC kerusi yang difikirkan sesuai. Apapun kenyataan Ahmad Zahid menutup segala teka-teki, mengakhiri segala spekulasi.


