PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan memberikan penjelasan terperinci di Parlimen esok berkaitan Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, Anwar berkata, beliau telah membincangkan isu berkenaan secara mendalam dalam Mesyuarat Khas Kabinet kelmarin termasuk pertimbangan konsensus berhubung isu-isu yang berkaitan dengan 40 peratus mengikut Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini tidak dirayu, tetapi, keputusan penghakiman yang kita rayu akan saya jelaskan di Parlimen esok (Khamis) secara lebih terperinci,” katanya, lapor Sinar Harian.
Kerajaan Persekutuan kelmarin memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan kerajaan menghormati prinsip tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah dengan kadar segera.
AGC turut memaklumkan bahawa nasihat undang-undang telah diberikan kepada Jemaah Menteri berkaitan kecacatan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi.
Antara lain, alasan penghakiman didakwa mengandungi tuduhan berat terhadap kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, termasuk dakwaan bahawa kedua-dua pihak telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.
Alasan penghakiman juga menyatakan bahawa kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan prosedur, dan tindakan tersebut tidak berkadaran.
Justeru, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk merayu terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman, walaupun tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan keseluruhan.



