PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjadi presiden parti yang berhadapan paling ramai lawan iaitu dengan 10 calon lain.
Bagaimanapun Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) itu yakin mampu meraih kemenangan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.
Beliau berkata keyakinan itu berpaksikan pengalaman luas serta hubungan rapat dengan rakyat di kawasan berkenaan setelah berkhidmat selama lebih empat dekad.
“Yang menjadikan saya yakin di Pintasan ini, saya telah berkhidmat lebih kurang 40 tahun. Pilihan raya sebelum ini, saya bertanding atas tiket USNO. Lepas itu, Perikatan Nasional dan BN pada ketika itu yang mencalonkan Datuk Fairuz, itu lawan saya. Jadi, saya cuma kalah 84 undi saja pada ketika itu,” katanya.
DI DUN LAMAG, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin pula berdepan saingan enam penjuru bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Bung Moktar ditentang Johainizamshah Johari daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Salahuddin @Saalahuddin Anoi (Parti Impian Sabah – PIS), Mohd Saifulah Lokman (Parti Warisan – Warisan), Mohd Ismail Ayob (Bebas) dan Mazlin Madali (Perikatan Nasional – PN).
DI DUN SULAMAN, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berdepan pertandingan lima penjuru.
Pada PRN lepas, Hajiji menang kerusi Sulaman dengan majoriti 3,099 undi.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) ditentang calon muda dan muka baharu daripada Barisan Nasional (BN) Dr Shahnon Rizal Thaijuddin selain Mokhtar Hussin (Parti Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).
DI DUN SOOK, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berdepan persaingan lima penjuru bagi menawan kerusi itu buat pertama kali.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dicabar calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Ellron Angin, Ireneus Pagut @ Jreneus Pagut (Parti Solidariti Tanah Airku – STAR), Joseph Peter Tinggi (Parti Warisan – Warisan) dan V Chong Vin @ Siau Ho (Parti Impian Sabah – PIS).
DI DUN SENALLANG, bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdepan saingan empat penjuru.
Penyandang kerusi itu dicabar Datuk Marunda KK Ampong daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Mohd Lipai @ Samsu Sundalu mewakili Parti Impian Sabah (PIS) dan Abdul Majid Angkulan daripada Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA).


