SEORANG pelajar lelaki maut apabila motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang membelok secara tiba-tiba di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Padang Serai, Kulim hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, remaja terbabit yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di Kulim meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak ke dalam longkang dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Beliau berkata, Balai Polis Trafik Kulim menerima panggilan daripada orang awam mengenai kemalangan itu yang berlaku pada jam 11 pagi.
“Remaja terbabit menunggang motosikal Yamaha 135 LC disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati mangsa menaiki motosikal dari rumahnya di Taman Mahsuri menghala ke kedai berdekatan melalui jalan lurus di taman perumahan berhadapan stesen minyak berkenaan.
“Pada masa yang sama datang sebuah kereta Proton Saga FL yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari Jalan Padang Serai – Tasek Gelugor cuba membelok ke kiri untuk masuk ke stesen minyak secara tiba-tiba tanpa memberi laluan kepada motosikal yang ditunggangi remaja itu,” katanya, lapor Harian Metro.
Zulkifli berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal itu tercampak ke dalam longkang di hadapan stesen minyak dan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala selepas topi keledarnya tercabut.
Beliau berkata, pemandu kereta Proton Saga FL itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


