SEORANG lelaki berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia 18 tahun telah ditahan kerana disyaki membunuh seorang kanak-kanak di kawasan Ujhani, daerah Budaun di Bareilly, India.
Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu dilaporkan hilang pada 16 November lalu sebelum mayatnya yang telah mereput ditemui di sebuah kawasan tanah kosong berhampiran rumahnya pada 22 November lepas.
Ketua Pondok Polis Ujhani, Jugvendra Baliyan berkata, Mohd Zakir dan anaknya, Mohd Arbaaz, tinggal di kawasan kejiranan yang sama dengan mangsa, Subhan, dan mereka mengusahakan sebuah ladang ayam berskala kecil di rumah mereka.
Ujarnya, Mohd Zakir memaklumkan bahawa Subhan sering membunuh anak-anak ayam mereka sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.
Walaupun telah diberi amaran berulang kali, kanak-kanak itu didakwa terus berkelakuan demikian.
Suspek mengaku bahawa mereka membunuh kanak-kanak itu di rumah mereka dan menanamnya buat seketika sebelum membuang mayatnya di sebuah kawasan lapang kira-kira 400 meter dari rumahnya.
“Subhan, murid Tahun 1, kali terakhir dilihat bermain di luar rumah sebelum dia dilaporkan hilang. Selepas operasi pencarian besar-besaran, keluarganya membuat laporan orang hilang di Balai Polis Ujhani.
“Pada Sabtu, penduduk memaklumkan kepada kami bahawa mereka menemui mayatnya di sebuah ladang berdekatan,” kata Baliyan.
Menurutnya, mayat tersebut dihantar untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan punca kematian adalah akibat cekik secara manual.
“Satu laporan polis telah didaftarkan terhadap kedua-dua suspek di bawah Seksyen 103 (membunuh) Kanun Jenayah Baharu (BNS).
“Kedua-dua bapa dan anak itu telah dihantar ke penjara,” ujar Baliyan.



