SEORANG lelaki dipercayai penjenayah maut ditembak polis selepas berbalas tembakan dalam kejadian tepi jalan Batu 8, Jalan Banting–Dengkil, Dengkil, Selangor malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 malam ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) JSJ Bukit Aman menjalankan operasi mencegah jenayah samun di kawasan Banting, Dengkil dan Sepang.
Menurutnya, pasukan polis terserempak dengan sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.
“Namun ketika pasukan serbuan menghampiri, suspek tiba-tiba melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah anggota polis. Polis kemudian membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.
“Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek dipercayai lelaki warga tempatan namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.
“Pemeriksaan lanjut ke dalam kenderaan suspek menemukan sepucuk senjata api jenis Colt 45, tujuh peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah dan tiga butir peluru,” katanya.
Menurutnya, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.



