SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil ahli perniagaan, Albert Tei bagi membantu siasatan tohmahan yang dibuat oleh beliau membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil individu yang membuat dakwaan berkenaan serta individu yang dinamakan dalam dakwaan itu dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.
“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terbabit bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Azam turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini.
Shamsul Iskandar semalam mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
Tei dalam laporan eksklusifnya kepada Malaysiakini semalam mendakwa, dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Dakwa Tei, dia telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit, untuk menguatkan dakwaannya.


