Albert Tei dibawa pulang semula ke rumah

AHLI perniagaan, Albert Tei yang ditahan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini dibawa pulang semula ke rumahnya sebentar tadi, dipercayai bagi membantu siasatan kes terhadapnya.

Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakilinya, Zaid Malek.

Difahamkan, Albert dibawa masuk ke dalam kediamannya di kawasan perumahan di Puchong, Selangor dengan keadaan tangan bergari.

Zaid berkata, beliau mendapat berita Albert dibawa masuk semula ke rumahnya ketika dalam perjalanan untuk bertemu ahli perniagaan itu.

“Saya belum menerima maklumat lanjut kerana tidak tahu status sebenar Albert pulang atau rumahnya digeledah semula,” katanya kepada media, lapor Sinar Harian.

Setakat ini belum ada pengesahan dan perincian berhubung kronologi kes penahanan Albert daripada SPRM termasuk Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Zaid sebelum itu mendakwa beberapa pegawai SPRM telah memecah masuk rumah Albert secara paksa dan membawanya keluar dalam keadaan tangan bergari.

Dakwanya, beliau juga dihalang daripada bertemu dengan anak guamnya oleh pegawai SPRM dan anggota polis sejurus tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya lagi, Albert dikelilingi pegawai bersenjata yang memakai balaklava dan situasi memperlihatkan seolah-olah mereka sedang menangkap seorang pengganas.

“Para pegawai juga enggan memperkenalkan diri atau menyatakan ke mana Albert akan dibawa. Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka polis atau pegawai SPRM.

“Kegagalan memperkenalkan diri adalah tindakan angkuh dan menyalahi undang-undang. Mereka hanya bercakap dengan saya selepas saya mengambil gambar kejadian.

“Mereka juga secara tidak sah meminta nak ambil telefon saya untuk melihat gambar-gambar yang diambil,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berpandangan, tindakan dibuat pihak berkuasa itu merupakan pelanggaran hak perlembagaan anak guamnya terhadap proses undang-undang yang sewajarnya.

“Hak (Albert) untuk mendapatkan peguam juga dinafikan. Amat mengejutkan bahawa seorang pemberi maklumat atau pelapor rasuah ditangkap.

“Tiada tindakan sebegitu diambil terhadap individu yang dilaporkannya iaitu bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

“Adakah ini siasatan yang adil dan saksama sepertimana dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pentas ceramah (semalam)?” soalnya lagi.

Albert yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, baru-baru ini mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Beliau juga telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp berserta resit untuk menguatkan dakwaannya.

Shamsul Iskandar pada Selasa lalu meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada PM dengan mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej Kerajaan Madani.

Perdana Menteri pada Khamis berpendapat bahawa keputusan Shamsul Iskandar meletakkan jawatan susulan terkait dakwaan rasuah, membuktikan bahawa Kerajaan Madani mengamalkan tahap integriti yang tinggi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img