SEORANG wanita yang maut ditikam suaminya sendiri dalam satu kejadian tragis di Kampung Paku, Gual Ipoh, di Tanah Merah hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, wanita tersebut Mastura Abdullah yang bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian hadapan dan belakang badan dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi.
Difahamkan, Mastura telah berkahwin dengan suspek berusia 63 tahun itu selama 14 tahun dan pasangan tersebut mempunyai dua orang anak yang kini berusia 10 dan 12 tahun.
Suspek dipercayai menikam mangsa menggunakan senjata tajam sebelum menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh kira-kira jam 1 petang.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tanah Merah (HTM) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
Dalam perkembangan yang sama, Adik mangsa, Mohd Jony, 30, berkata, kakaknya yang bekerja sebagai tukang masak itu baru tiba di kampung jam 8 pagi dari Selayang, Selangor dengan menaiki lori sepupu.
“Kakak sampai di rumah dalam jam 9 pagi, selepas diambil adik bongsu kami di sebuah stesen minyak di Machang.
“Sepupu menurunkan dia di sana. Kemudian adik hantar ke rumah. Kami mengetahui kejadian ini dalam tengah hari, setelah abang ipar menyerahkan diri di balai polis.
“Sebelum itu dia sempat ambil anak lelakinya di sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, dalam jam 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah
Menurut Mohd Jony, mereka bergegas ke rumah kakaknya selepas mengetahui kejadian tersebut namun tidak dapat menghampiri jenazah mangsa kerana polis sedang melakukan siasatan.
Ujarnya, anak saudaranya dikatakan merupakan orang pertama yang melihat mangsa namun disebabkan dia adalah orang kurang upaya (OKU), tiada sebarang tindakan diambil.
Dia memberitahu, kakaknya itu sudah lebih setahun bekerja di Selayang dan akan pulang bercuti setiap bulan, manakala suspek pula tidak bekerja.
“Abang ipar dan kakak telah berkahwin selama 14 tahun dan dia (abang ipar) tidak bergaul dengan orang kampung. Jadi sukar untuk kami membuat apa-apa andaian.
“Kami hanya dimaklumkan arwah ditikam di bahagian hadapan dan belakang badannya banyak kali,” katanya.
Menurut dia, jenazah Mastura akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku selepas selesai bedah siasat.


