JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai carrier ketika untuk membawa masuk dua warga asing melalui kaunter ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, semalam.
Dalam operasi bermula jam 6.40 petang itu, lelaki tempatan yang bertindak sebagai carrier itu ditahan ketika cuba membawa masuk seorang lelaki warganegara Saint Kitts and Nevis serta seorang wanita warganegara China. Ketiga-tiga mereka berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan tersebut adalah hasil risikan selama dua minggu terhadap aktiviti itu yang dipercayai telah dijalankan sejak tiga bulan lepas.
“Operasi melibatkan sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria berkata, suspek selaku carrier dipercayai membawa migran ke kaunter yang telah ditetapkan dan memberi arahan berhubung laluan perlu digunakan bagi memudahkan migran melepasi pemeriksaan.
“Carrier memberi arahan kepada migran berkaitan laluan akan digunakan, ke kaunter telah `disediakan’ berserta lakaran atau gambaran kedudukan kaunter yang akan digunakan,” katanya.
Menurut beliau, pegawai yang bertugas di kaunter pemeriksaan disyaki terlibat kerana mengetahui lebih awal mengenai pergerakan masuk migran melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, carrier tersebut akan menghantar gambar pakaian migran bagi memudahkan pegawai mengenal pasti migran yang akan dilepaskan.
“Carrier memerhati daripada jauh pergerakan migran melepasi kaunter sebelum bergerak ke kaunter pemeriksaan lain setelah migran berjaya melepasi kaunter pemeriksaan imigresen.
“Carrier dan migran akan berjumpa semula di pintu balai ketibaan dan bergerak bersama-sama untuk keluar dari kawasan KLIA 2. Carrier hanya menggunakan isyarat tangan kepada migran bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Zakaria berkata, dalam kes ini, pihaknya mendapati kedua-dua warga asing dibawa carrier terbabit mempunyai Pas Lawatan Sosial yang masih sah.
Kesemua suspek, carrier dan dua warga asing itu kini ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.
JIM katanya turut menyita satu pasport China, satu pasport Saint Kitts and Nevis, satu pasport Malaysia, cap keselamatan imigresen, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM23,100.
Zakaria berkata tiga lelaki dan seorang wanita tempatan turut diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.


