
SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya tiada kegiatan tidak bermoral atau songsang berlaku di negeri ini.
Baginda turut menzahirkan rasa terkejut terhadap perkara berkenaan dan berharap agar sebarang kegiatan seumpamanya ini dihentikan.
“Saya harap ini tidak berlaku di Pahang dan saya ingin beri nasihat, jauhilah perbuatan-perbuatan songsang ini dan saya minta juga Majlis Perbandaran serta semua pihak berkuasa daerah memantau kegiatan seumpama ini,” titah baginda dalam satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Baginda bertitah, sekiranya ada tempat-tempat yang menyediakan fasiliti seperti ini (spa) agar ia dapat dipantau dengan lebih rapi supaya tidak ada kegiatan songsang berlaku di Pahang.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan tindakan sewajarnya perlu diambil jika terdapat mana-mana pihak terlibat atau menyediakan ruang untuk kegiatan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan sebuah pusat kesihatan di ibu negara yang dipercayai menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral.
Dalam serbuan itu, sebanyak 17 penjawat awam antara 208 individu yang ditahan polis dan pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di premis itu dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di Chow Kit.


