AHLI perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing memberi tempoh tujuh hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjelaskan status rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa dirampas ketika serbuan di kediamannya baru-baru ini.
Albert turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) agensi berkenaan susulan tindakan pegawai SPRM memecah masuk rumah serta mengacukan senjata ke arahnya dalam operasi pada 28 November lalu, kononnya atas alasan beliau melanggar notis.
“Selepas SPRM memecah masuk rumah saya, mereka memaksa isteri saya memadam rakaman video dalam telefon. Kemudian mereka merampas CCTV di rumah saya.
“Dalam rumah hanya ada isteri, dua anak berusia 10 hingga 13 tahun, ibu mentua dan pembantu rumah. Bagaimana kami boleh dianggap ancaman?” katanya dalam sidang media selepas perbicaraan kes di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini.
Menurut Albert, rakaman CCTV merupakan bukti penting dan beliau tidak teragak-agak menuntut penjelasan penuh daripada SPRM sekiranya ia hilang atau rosak.
“Saya ingin tegaskan sekeras-kerasnya kalau rakaman dalam CCTV hilang atau rosak, terpadam, saya akan tuntut (penjelasan) SPRM sehingga ke lubang cacing. Kamu masuk nak tahan saya, apa kaitan dengan CCTV saya ” katanya.
Hari ini, Albert hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Sementara itu, peguam bela Albert yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menyifatkan penahanan anak guamnya sebagai tidak wajar memandangkan Albert adalah pemberi maklumat (whistleblower).
“Albert mendedahkan maklumat mengenai seorang pegawai tertinggi di Sabah. Hampir setahun laporan dibuat, tetapi tiada tindakan. Sebaliknya, beliau yang ditahan. Sepanjang pengetahuan saya, situasi seperti ini tidak berlaku di mana-mana negara,” katanya.
Latheefa turut menegaskan bahawa Albert bukan sasaran utama.
“Albert bukan ‘ikan besar’. Jika benar mahu membanteras rasuah, tangkaplah jerung, bukan ikan bilis,” katanya.


