MENTERI Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah hari ini yakin kedudukannya sebagai pemimpin kerajaan negeri itu tidak terjejas sekiranya dipecat Bersatu susulan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti pada Khamis lalu.
Beliau yang masih kekal sebagai Pengerusi Bersatu Perlis bagaimanapun menyerahkan sebarang keputusan berhubung tindakannya itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan.
“Apa jua tindakan atau keputusan yang dibuat oleh Presiden parti selepas ini berhubung peletakan jawatan saya sebagai ahli MPT termasuk jika saya dipecat daripada parti, saya akan menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan ESR Motor bagi projek pembinaan litar lumba di Kangar hari ini.
Abu Bakar berkata, keadaan sama pernah berlaku di Kedah apabila terdapat wakil rakyat yang dipecat parti, tetapi masih memegang jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Beliau berkata, barisan kepemimpinan Bersatu Perlis masih berpegang teguh kepada etika parti dan yakin perkara di luar jangkaan tidak mungkin berlaku.
“Kita akan memberi penumpuan kepada pilihan raya di Negeri Sembilan. Apa pun yang berlaku di Johor, ada hikmah dan mungkin ia satu cabaran kepada Bersatu untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberi keyakinan kepada rakyat.
“Jadi, isu pemecatan atau pergolakan dalaman parti tidak perlu kita pertikaikan, paling penting sekarang, kita mahu pastikan rakyat memberi kerjasama kepada Bersatu dan yakin bahawa parti ini mampu mentadbir kerajaan serta negeri dengan baik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin menegaskan BERSATU kekal kukuh dan utuh meskipun terdapat beberapa pemimpin tertinggi parti termasuk Abu Bakar mengambil keputusan melepaskan jawatan dalam MPT.
Muhyiddin bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau akan mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai kedudukan sebenar pemimpin berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun pemimpin terbabit meletakkan jawatan dalam kepimpinan tertinggi, mereka secara rasminya masih kekal sebagai ahli BERSATU dan segala isu dalaman akan diselesaikan secara tertutup.






