SEORANG penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berusia 13 tahun sejak tahun lalu.
Tertuduh, Nik Mohd ZainiNik Zulkepeli, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan yang ketika kejadian berusia 13 tahun dua bulan.
Perbuatan itu dilakukan di kebun getah di sebuah kampung di Tanah Merah jam 10 malam pada 28 Ogos 2025.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama ketika berusia 13 tahun 11 bulan di lorong sebuah kampung di Tanah Merah jam 3.50 pagi pada 25 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan sama yang ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan.
Perbuatan itu dilakukan pada 26 Jun dan 30 Jun lalu antara jam 8.30 malam hingga 10 malam di sebuah kebun getah.
Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan selain memaklumkan sudah insaf dengan perbuatannya.
Bagaimanapun, Siti Aiysha Na’ilah memohon hukuman setimpal dikenakan kerana perbuatan tertuduh satu kesalahan serius memandangkan mangsa adalah anak kandungnya sendiri yang sepatutnya dilindungi tetapi sanggup melakukan perbuatan jijik itu.
“Tertuduh turut memanipulasi mangsa dengan perbuatan jijik itu kononnya untuk mengubati mangsa menjadi insan lebih baik,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan dengan keseluruhan hukuman adalah 24 tahun dan 12 sebatan.
Hukuman berkenaan berjalan secara berasingan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Julai lalu.






