YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menarik balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepada bekas pengerusi Felda, Isa Samad, berkuatkuasa 8 Jun lalu.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata penarikan balik darjah kebesaran itu susulan Isa, 76, disabitkan dengan kesalahan rasuah dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“Ia juga selaras titah Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 Sept 2024 di Istana Negara,” kata kenyataan itu.
Pada 10 Feb lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Isa kerana menerima rasuah kira-kira RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Kuching 12 tahun lepas.
Pada 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah membabitkan sejumlah RM3.09 juta. Isa dihukum penjara enam tahun dan didenda RM15.4 juta.
Dua tahun lepas, Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) sebulat suara membenarkan rayuan Isa, membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya lalu mencetuskan rayuan pendakwaan itu.
Isa dituduh menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel, yang ketika itu pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai dorongan untuk meluluskan pembelian MPHS oleh FICSB pada harga RM160 juta.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kini memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan sidang terdahulu dan ditetapkan untuk didengar pada 26 Jun ini.






