Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz diisytihar Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ANANDA kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz diisytiharkan  sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang baharu, menggantikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, berkuat kuasa serta-merta.

Pemasyhuran Gelaran Pusaka Putera Yang Empat itu disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Istiadat berlangsung mengikut adat istiadat Diraja Negeri Sembilan, dimulakan dengan keberangkatan masuk Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud ke Balairong Seri.

Keberangkatan itu diiringi Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz sebelum Lagu Kebesaran Negeri Sembilan dimainkan.

Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz

Orang Empat Istana kemudian memohon perkenan bagi memulakan istiadat, sebelum Tunku Zain dipersilakan menghadap untuk menerima watikah pelantikan sebagai Tunku Panglima Besar.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, barisan exco kerajaan negeri, pimpinan adat serta wakil masyarakat.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan berkata Tuanku Muhriz menzahirkan keyakinan Tunku Zain, 44, akan terus memainkan peranan penting dalam menjunjung kedaulatan institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat dan negeri.

Pemasyhuran Tunku Zain dibuat susulan kekosongan gelaran pusaka Tunku Panglima Besar selepas Tunku Nadzaruddin tidak lagi memegang gelaran itu.

Pada 9 Jun lalu, Istana Besar Seri Menanti memaklumkan Tunku Nadzaruddin melepaskan gelaran pusaka berkenaan susulan tindakannya menerima pengisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka, pada 5 Jun.

Menurut kenyataan istana, pengisytiharan itu tidak sah dan tidak diiktiraf mengikut Perlembagaan, undang-undang serta adat Negeri Sembilan.

Istana turut memaklumkan tindakan menerima pengisytiharan berkenaan menyebabkan gelaran pusaka Tunku Panglima Besar yang disandang Tunku Nadzaruddin menjadi kosong.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img