Ahmad Samsuri sahkan Hamzah lepas jawatan Ketua Pembangkang

STATUS jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen akhirnya terjawab hari ini apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi penyandang jawatan tersebut.

Menurut Ahmad Samsuri, susulan peletakan jawatan tersebut, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menghantar surat rasmi bagi memaklumkan kekosongan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Saya rasa esok (Isnin) surat itu akan dihantar memandangkan hari ini merupakan hari cuti. Ia melibatkan pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang buat masa ini.

“Apabila kita hantar surat menyatakan berlaku kekosongan, maka secara automatik jawatan itu dikosongkan. Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi Ketua Pembangkang,” katanya menerusi rakaman video sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Johor yang dimuat naik dalam media sosial hari ini.

DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang video mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Hamzah Zainudin pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Johor hari ini

Mengulas mengenai kemelut yang timbul sebelum ini, Ahmad Samsuri menjelaskan keadaan itu berlaku berkemungkinan kerana jawatan berkenaan masih mempunyai penyandang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan gabungan itu kini mempunyai strategi tertentu untuk bergerak dalam kapasiti parti komponen memandangkan Dewan Rakyat masih belum bersidang.

“Kita akan mempunyai Ketua Pembangkang yang baharu menjelang sidang Dewan Rakyat pada Jun ini,” jelas beliau.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, mesyuarat kedua bagi penggal kelima Parlimen ke-15 akan bersidang mulai 22 Jun hingga 16 Julai depan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tuntutan Pas Johor agar jawatan tersebut diberikan kepada pemimpin Pas memandangkan sebelum ini ia diisi oleh wakil Bersatu, Ahmad Samsuri menyifatkan ia sebagai satu perkara yang lumrah dalam politik.

“Kalau kita tanya 10 orang, mungkin ada 10 jawapan berbeza. Biasalah, masing-masing mempunyai hasrat terhadap kepimpinan. Apa pun, kita mendengar semua pandangan dan akan berbincang mengenainya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri menyatakan sokongan PN terhadap cadangan pewujudan Akta Pendanaan Politik yang telah disuarakan sejak awal.

Beliau bagaimanapun menekankan agar kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan semua parti politik, termasuk yang tidak mempunyai wakil di Parlimen, sebelum kerangka akta tersebut dimuktamadkan.

“Kita cari yang terbaik, bukan hendak mengejar masa. Kita mahu apabila ia dibentangkan di Parlimen nanti, ia akan diluluskan dengan tenang.

“Ini bagi mengelakkan ia menerima nasib sama seperti cadangan akta sebelum ini yang ditolak di peringkat Parlimen,” ujar beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img