TINDAKAN seorang pemandu wanita tertekan pedal minyak mengakibatkan kenderaan dipandunya itu terbabas dan merempuh dua pelajar, salah seorang daripadanya maut di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di Kota Bharu, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, pelajar tingkatan satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang rakannya cedera parah.
Ketika kejadian, kedua-dua pelajar perempuan itu dikatakan berada di hadapan surau dalam kawasan sekolah itu sedang memakai kasut selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum dirempuh kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.15 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita di dalam kawasan sekolah dipercayai tertekan pedal minyak sebelum hilang kawalan.
“Kereta tersebut kemudian terbabas ke hadapan dan melanggar dua pelajar yang berada di hadapan surau sekolah berkenaan sebelum turut merempuh tiang batu surau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, Nur Fatimatul Hawa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar USM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
“Seorang lagi pelajar mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.
Menurut beliau, pemandu kenderaan terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, ujar beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau menghubungi talian 09-775 2315.


