POLIS sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak lebih dua minggu lalu selepas kali terakhir dilihat di Kampung Orang Asli Pasu, Kuala Krau, Temerloh.
Ainul Maisarah Abu Bakar dilaporkan tidak dapat dikesan sejak 14 Mei lalu, sebelum laporan polis berhubung kehilangannya dibuat oleh bapanya Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Arshad Ayob berkata, remaja yang beralamat di Kampung Perlok, Ulu Cheka, Jerantut itu bertubuh kurus, berketinggian sederhana, berwajah bujur dan berkulit hitam manis.
“Ketika kali terakhir dilihat, remaja terbabit memakai pakaian sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan dan usaha mengesan remaja terbabit dengan bantuan orang ramai.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di talian 09-266 2222,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak untuk membantu mengesan Ainul Maisarah dengan segera bagi memastikan keselamatan remaja berkenaan.


