POLIS Sungai Buloh sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit daripada ibunya pada jam 10.45 malam.
Menurut beliau, remaja berkenaan dikenali sebagai Ameera Farhana Sarif Abdullah, lahir pada 11 April 2012 dan berusia 14 tahun satu bulan.
“Remaja itu dilaporkan tiada di rumah sejak jam 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lokasi terakhir mangsa dipercayai di Lot 1379, Jalan Gajah 2, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor.
“Ketika kali terakhir dilihat, Ameera Farhana memakai baju-T berwarna coklat, seluar jeans biru muda, bertudung hitam dan membawa beg galas.
“Mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 148 sentimeter, berat 49 kilogram, berkulit sawo matang dan berambut paras bahu,” ujarnya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan remaja berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Rais Azmi di talian 016-9495707 bagi membantu siasatan.


