KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengulangi pendiriannya beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sekiranya Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, pendirian itu kekal seperti yang dinyatakan sebelum ini dan tidak akan berubah sekiranya berlaku kerjasama antara BN dan PH, termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Pendirian saya dahulu, kini dan insya-Allah selamanya tidak akan bersama dengan PH jika BN bersama dengan PH. Saya sendiri tidak akan menjadi calon dan saya tidak akan bertanding pun di mana-mana negeri,” tegasnya.
Muhamad Akmal berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-67 di Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka menegaskan, tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan hanya kerana mahu mendapatkan jawatan atau kedudukan dalam politik.
“Bagi saya, apabila kita berjuang, kita mempunyai satu pendirian. Maka saya tidak akan menggadaikan pendirian saya hanya sekadar demi sebuah jawatan,” tegasnya.
Muhamad Akmal berkata, pendirian tersebut bukan sekadar pendirian peribadinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebaliknya merupakan pendirian yang dibawanya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
“Saya menyatakan dengan tegas kita sama sekali tidak mahu bersama dengan PH. Pimpinan saya sudah tahu. Ini pendirian Pemuda dan pendirian saya yang tegas,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, agenda penyatuan antara UMNO dan Pas perlu terus diperkukuhkan demi kepentingan umat dan negara di mana dibuktikan dengan kehadiran 25 pimpinan Pemuda UMNO ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini.
“Alhamdulillah, hari ini kita membuktikan bahawa terciptanya satu sejarah. Saya dijemput lima orang, tetapi saya hadir seramai 25 orang yang terdiri daripada pimpinan Pemuda UMNO di peringkat Pusat dan negeri Kelantan,” ujarnya.
Beliau berkata, kehadiran itu juga membawa mesej Pemuda UMNO dan Pas mempunyai hasrat yang sama untuk memperkukuhkan penyatuan umat.
“Agenda kita tidak ada yang lain dan tidak bukan adalah untuk menyatukan umat. Tema Dewan Pemuda Pas Malaysia hari ini adalah ‘Memimpin Penyatuan’ dan sebenarnya tema ini hampir sama dengan Pemuda UMNO,” katanya.
Muhamad Akmal berkata, usaha penyatuan tersebut bukan hanya menjadi hasrat Pemuda Umno dan PAS, malah merupakan harapan sebahagian besar rakyat negara ini.
“Apabila kita berpecah, perpecahan tidak pernah menguatkan kita. Tetapi apabila kita bersama, ia akan lebih menguatkan kita.
“Sebenarnya ini bukan soal hanya Melayu sahaja, tetapi induk dalam negara ini perlu disatukan terlebih dahulu dan akhirnya, insya-Allah, kelompok-kelompok yang lebih kecil akan turut bersama,” katanya.
Mengulas penerimaan parti komponen BN terhadap usaha penyatuan itu, beliau berkata, sambutan yang diterima setakat ini adalah baik.
Katanya, beliau baru-baru ini merasmikan Pemuda MIC di Melaka dan mendapat penerimaan positif terhadap agenda penyatuan berkenaan.
“Sebab itu saya katakan, kita sudah mulakan di Johor, kita sudah mulakan di Negeri Sembilan dan sepatutnya, insya-Allah, kita akan mulakan bukan sahaja di Melaka, tetapi sehingga selama-lamanya, insya-Allah,” katanya.





