Remaja lelaki cari ketam batu dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak

SEORANG remaja lelaki dikhuatiri hilang dipercayai dihanyutkan ombak ketika keluar mencari ketam batu bersama sekumpulan rakannya di kawasan tambakan laut Pantai Klebang di Melaka petang semalam.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Arif Daniel Nizamuddin, 16, pelajar Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masih berjalan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 3.30 petang, di mana remaja itu dikatakan ke pantai berkenaan bersama rakan lain.

ASISTEN Komisioner Halim Abas (dua dari kiri) diberi taklimat operasi SAR seorang remaja lelaki yang dikhuatiri hilang ketika mencari ketam batu di Pantai Klebang sejak semalam. GAMBAR: Melaka Hari Ini

Beliau berkata, berdasarkan keterangan rakannya, mereka ke kawasan tambak laut untuk mencari ketam di tebing batu sebelum Muhammad Arif Daniel cuba berenang ke tengah laut.

“Kita percaya mangsa ditarik ombak ke kawasan lebih dalam dan terus hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi SAR hari ini, lapor Harian Metro.

Operasi membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong turut berada di lokasi bagi meninjau operasi SAR.

Halim berkata, pencarian hari pertama membabitkan pasukan penyelam JBPM yang dibahagikan kepada dua zon dan dua sektor dengan keluasan kira-kira 900 meter persegi.

Katanya, operasi masih berterusan sehingga ditangguhkan pada 7 malam dan akan disambung semula esok.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut terutama sepanjang cuti sekolah ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here