CUBAAN seorang penjawat awam lelaki melarikan diri melalui tingkap angin dalam tandas gagal apabila dia dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat dengan seorang janda di sebuah inap desa, semalam.
Lelaki berusia 45 tahun yang masih berstatus suami orang itu ditahan dalam operasi bermula jam 8.30 pagi, selepas pihak penguat kuasa menerima arahan melakukan pemeriksaan ke atas inap desa yang dipercayai menjadi lokasi kegiatan maksiat.
Menurut JAINJ, ketika serbuan dijalankan, penguat kuasa mengetuk pintu salah satu bilik namun tiada jawapan diberikan.
“Selepas kira-kira 10 minit pintu masih tidak dibuka, penguat kuasa cuba mengesan tuan rumah sebelum ternampak seorang lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap angin dari dalam tandas.
“Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan sebelum pintu bilik dibuka oleh seorang wanita tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit merupakan penjawat awam di Kluang, manakala pasangannya seorang janda berusia 56 tahun yang bekerja sendiri.
“Rumah lelaki itu terletak kira-kira 15 kilometer dari inap desa berkenaan. Apabila ditanya, mereka mendakwa hanya berehat dan berbual di dalam bilik,” katanya.
Menurut JAINJ, pasangan itu sudah lama mengenali antara satu sama lain dan memilih inap desa kerana menyangka lokasi berkenaan kurang dipantau berbanding hotel.
“Siasatan turut mendapati mereka mendaftar masuk ke bilik sekitar jam 4 pagi sehari sebelum ditahan dan berlagak seperti suami isteri,” katanya.
Pasangan itu kini disiasat dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.


