POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan yang cuba menyerang orang awam menggunakan pisau pemotong daging petang semalam.
Satu das tembakan amaran dilepaskan sebelum lelaki itu berjaya ditangkap.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kaunter pertanyaan Balai Polis Bestari Jaya telah menerima aduan orang awam memaklumkan seorang lelaki Melayu mengamuk dengan membawa pisau pemotong daging.
Katanya, lelaki itu mahu menyerang orang awam di Taman Jasa Ijok.
“Setibanya anggota polis, terdapat seorang lelaki sedang mengamuk sambil menjerit dan memegang pisau.
“Suspek berjaya ditangkap dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.