Menteri Pendidikan Fadlina Sidek dan Kementerian Pendidikan menjadi sasaran kritikan ahli-ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menyindir Fadhlina Sidek susulan kenyataan Menteri Pendidikan berhubung insiden seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka diperkosa bergilir-gilir, baru-baru ini.
Berucap dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Ahmad Fadhli meluahkan rasa kecewa terhadap reaksi awal Fadhlina yang menurutnya tidak menumpukan kepada soal keselamatan pelajar, sebaliknya memberi jaminan bahawa pelajar yang terlibat masih boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita sedih bila menteri pendidikan ditanya semalam, adakah murid-murid (yang terlibat dalam kes rogol bergilir-gilir) ini boleh menduduki SPM? Dia jawab bahawa murid-murid yang empat orang (suspek) ini masih boleh menduduki SPM.
“Tapi, alhamdulillah sebentar tadi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan murid-murid terlibat ini dipecat (dibuang) daripada sekolah serta-merta dan kalau nak ambil SPM pun ambil di tempat lain. Kalau perlu, ambil di pejabat Menteri Pendidikan.
“Menteri mungkin boleh buat video ‘Happy Birthday PM’, okeylah. Setakat itu. Tapi kalau nak bincang lebih lagi, ini kena bagi kepada penjawat awam,” sindir Ahmad Fadli.
Fadhlina semalam menyatakan semua empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, dibenar menduduki peperiksaan SPM yang dijadual bermula 3 November depan.
Fadhlina dilaporkan berkata keputusan itu dibuat untuk memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mereka berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa, susulan kes berkenaan.
Ogos lalu, Fadhlina menjadi perhatian ramai selepas tular satu video menunjukkan beliau hadir satu program di sebuah sekolah. Kehadirannya itu tidak menjadi isu, sebaliknya permintaannya kepada murid-murid yang hadir menjadi bualan di laman sosial.
Dalam rakaman itu, dia dilihat telah meminta murid-murid untuk mengucapkan “selamat hari lahir PMX, we love you PMX”.
SEMENTARA seorang Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedia berundur daripada peranannya sebagai ‘Rakan Kementerian’ jika pihak Kementerian Pendidikan terus mengabaikan masalah lama yang membelenggu sistem pendidikan Sarawak.

Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) merungut aduan mengenai sekolah daif, kekurangan guru, dan kelemahan akses digital dibiarkan tidak diselesai sejak bertahun-tahun.
Beliau berkata, ratusan sekolah di Sarawak kekal tidak selamat atau tidak sesuai untuk digunakan, dengan 555 dikelaskan daif, termasuk 361 tidak sesuai untuk digunakan dan 194 dianggap tidak selamat.
“Kalau segala isu yang dibangkitkan tidak dijawab, lebih baik saya letak jawatan sebagai ‘Friend of the Ministry’ (FoM),” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026, di Dewan Rakyat.
Inisiatif FoM yang diperkenalkan kelab Parlimen penyokong kerajaan pada awal tahun ini, bertujuan menambah baik dan memperkasakan peranan Ahli Parlimen kerajaan sepanjang sesi Dewan Rakyat.
Johnie menggesa kementerian merangka pelan induk sekolah daif Sarawak 2030, yang menyasarkan pembinaan semula sekurang-kurangnya 100 sekolah setahun
“Isu sekolah daif bukan sekadar isu infrastruktur, ia adalah isu maruah, kemanusiaan, dan keadilan wilayah,” katanya.
Beliau turut mengkritik pembelajaran digital yang perlahan, sambil mendakwa banyak sekolah papan putih interaktif, peranti, dan kestabilan internet.
Menurutnya, hanya 20,346 peranti telah diedarkan ke 1,459 buah sekolah – purata hanya 14 peranti bagi setiap sekolah, yang meliputi kurang daripada 5% populasi pelajar biasa.
Johnie mencadangkan agar Sarawak dibenar membiayai projek sekolah terlebih dahulu supaya kerja dapat dimulakan sebelum peruntukan pusat tiba, dengan menyatakan pendekatan itu mempercepatkan projek infrastruktur lalu.
Beliau juga menyeru firma minyak, gas, dan perladangan utama di Sarawak membaik pulih sekolah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana persekutuan.


