Anak perempuan Tun Daim dibenarkan peroleh pasport secara kekal

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan anak perempuan kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal.

Hakim Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip dan peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Asnida Abdul Daim, 65, pada prosiding semakan kes berkenaan.

“Mahkamah berpendapat tidak ada merit untuk tujuan pasport ditahan di mahkamah. Isu bahawa pengingkaran untuk hadir tidak dibuktikan bagi mengaitkan pengingkaran ini sebagai satu bentuk flight risk (larikan diri) jika pasport (pemohon) dibenarkan disimpan dan berada dalam kawalan pemohon tidak ada justifikasi.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan semakan ini dan pasport pemohon dikembalikan kepada pemohon dalam tempoh tujuh hari daripada perintah hari ini,” kata hakim, lapor Bernama.

Terdahulu, Nidzuwan berkata, pihak pendakwaan membantah pemohonan itu kerana terdapat risiko untuk pemohon melarikan diri kerana sebelum ini Asnida tidak hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi diambil keterangan.

“Pemohon juga sentiasa ke luar negara dan ada perniagaan di sana, kemungkinan ada risiko flight risk. Mohon mahkamah mempertimbangkan kes ini kerana ia melibatkan salah seorang anak Allahyarham Tun Daim yang mempunyai kepentingan awam,” katanya.

Bagaimanapun, Rajesh berkata, walaupun pemohon kerap ke luar negara untuk urusan perniagaan, ia tidak bermaksud pemohon merupakan seseorang yang berisiko melarikan diri.

“Adalah tidak munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa seseorang yang sering ke luar negara semestinya berisiko melarikan diri. Sejak pasport pemohon diserahkan kepada mahkamah, pemohon sentiasa berada di negara ini,” katanya.

Pada 7 April lalu, Asnida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 [Akta 694] bertarikh 8 Nov 2023.

Notis itu telah dihantar kepada Asnida oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 Nov 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan pegangan saham seperti yang dinyatakan.

Pegangan saham itu melibatkan lima syarikat, iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda yang boleh sampai RM100,000, jika sabit kesalahan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img