Wanita campak bayi baru lahir dari tingkat 38 dipenjara dua tahun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita yang mengaku bersalah mencampakkan bayi perempuannya yang baru lahir dari tingkat 38 sebuah kondominium, pada Februari tahun lalu.

Lua Mei Zhu, 24, bekas pegawai khidmat pelanggan, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.

Tertuduh yang memakai baju-T hitam pada mulanya menundukkan kepala sepanjang prosiding, sebelum menutup muka dan menangis sejurus keputusan dibuat.

Hakim memerintahkan wanita itu dipenjara selama dua tahun bermula tarikh tangkap iaitu pada 27 Februari 2025.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan, yang mana fikiran tertuduh berada dalam keadaan terganggu akibat melahirkan bayi tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di tingkat sembilan sebuah kondominium di Sentul Timur, pada jam 1.30 petang hingga 9 malam 26 Februari 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 309B akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang menjumpai seorang bayi dengan kepalanya pecah di beranda luar rumah, tingkat sembilan kondominium tersebut, pada jam 10.21 malam pada 26 Februari 2025.

Pihak polis kemudian menuju ke tingkat 38 kondominium tersebut dan mendapati tertuduh berada di dalam bilik.

Tertuduh didapati mencampakkan bayi itu melalui tingkap tandas rumah sejurus dilahirkan.

Bayi malang itu meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Hasil siasatan turut mendapati tertuduh bertindak sedemikian kerana berada dalam keadaan panik selepas melahirkan anak.

Semasa prosiding, peguam Loke Kok Mun yang mewakili tertuduh berkata, ketika kejadian dia mengalami kemurungan yang berpanjangan kerana berpisah dengan teman lelakinya yang berlainan bangsa dan agama.

“Dia sedar telah hamil di luar nikah semasa trimester akhir, namun tidak mendapatkan pemeriksaan di klinik kerana takut dengan stigma masyarakat.

“Dia mengalami tekanan emosi dan kemurungan berpanjangan selepas berpisah dengan teman lelaki, selain takut untuk memberitahu keluarga.

“Ekoran kejadian ini, dia terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri selama tiga bulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius.

Menurutnya, satu nyawa telah terkorban iaitu seorang bayi yang tidak bersalah, dia tidak sempat menikmati kehidupan di dunia, selepas dicampak dari tempat tinggi.

“Semasa kejadian, ada ahli keluarga lain di rumah maka tertuduh mempunyai pilihan lain, malangnya dia memilih jalan yang tragis itu.

“Sedangkan dia boleh menyerahkan bayi tersebut untuk dijadikan anak angkat, jadi saya memohon keadilan untuk bayi itu,” kata Mohamad Shahrizzat.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img