
MASIHKAH kita ingat pada 6 Mei 2025 Datuk Seri Rafizi Ramli bersedia berhadapan pertandingan bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR termasuk daripada Nurul Izzah Anwar.
Pada 27 Mei 2025, beliau meletakkan jawatan Menteri Ekonomi dan pada 20 Jun 2025 Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri hilang keyakinan kepada beliau sebagai orang nombor dua parti dan menteri ekonomi.
Kata Rafizi itulah yang menjadi faktor atau alasan meletak jawatan dalam Kabinet sebaik sahaja berakhirnya pemilihan PKR.
Rafizi meletak jawatan menteri adalah secara sukarela bukan disuruh oleh Perdana Menteri. Kalaulah beliau menganggap ‘Presiden sudah hilang kepercayan’ kepadanya berikutan penyertaan Nurul Izzah dalam merebut kerusi Timbalan Presiden, kenapakah beliau tidak menarik diri daripada bertanding?
Kenapa perlu selepas berada di luar Kabinet – tetapi masih makan gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen Pandan yang kerusi itu beliau menang atas tiket PKR – Rafizi konsisten mengkritik parti dan Kerajaan Perpaduan.
Walaupun kritikan beliau menimbulkan ketidakselesaan kepada pemimpin dan penyokong PKR namun parti itu tidak mengambil tindakan ke atas Rafizi. Bayangkan apa akan jadi jika beliau adalah Ahli Parlimen mewakili UMNO atau Bersatu…pastinya dah lama kena pecat! Ketika penulis bertanya kepada seorang pemimpin PKR kenapa tiada tindakan ke atas Rafizi..beliau menjawab ‘’bos malas layan’’.
Lanjutan dari semasa ke semasa Rafizi ‘semakin galak’ mengkritik PKR dan Kerajaan Perpaduan. Ada saja yang beliau suarakan, biarpun ia semakin tidak mendapat perhatian media.
Bagaimanapun apabila beberapa hari lalu beliau menegaskan tidak mempunyai obsesi untuk menjadi perdana menteri — satu ketaksuban yang disifatkannya telah membentuk perjalanan politik Anwar, penulis merasakan beliau sudah ‘melanggar garis merah’.
Kalaupun Rafizi berkata beliau mempunyai obsesi untuk menjadi PM, orang akan bertanya ‘layakkah?’. Sama ada suka atau tidak, Rafizi tidak ada rekod perjuangan seperti Anwar. Satu ketika ramai menganggap beliau ‘Raja Formula’ tetapi semua formula beliau ‘ke laut’ – kata netizen…apakah mungkin beliau tidak ada ‘formula’ untuk mempunyai obsesi jadi PM?
Kalau Rafizi tidak mahu ‘memikul beban mempunyai obsesi menjadi PM’, tak perlu la cakap macam tu kepada Anwar. Ramai tertanya-tanya kenapa Rafizi buat macam tu? Adakah semata-mata mencari publisiti atau mahu menarik perhatian selepas sejak kebelakangan ini kenyataan yang dibuatnya tidak lagi menjadi tumpuan media?
Ketika mula-mula letak jawatan, banyak media menanti ulasan atau pendedahan beliau tetapi sekarang tidak lagi. Rafizi dilihat hanya mahu melempiaskan kekecewaan selepas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR. Mungkin beliau tidak berniat demikian tetapi orang beranggapan begitu terutamanya dalam kalangan penyokong PKR.
Rafizi bukan calang-calang pemimpin dalam PKR. Beliau yang menyertai PKR pada tahun 1998 mula memegang pelbagai jawatan daripada Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Keadilan hinggalah terakhir Timbalan Presiden selain menjadi anggota Kabinet, kenapa baru sekarang Rafizi menganggap Anwar obsesi menjadi PM?
Rafizi perlu ingat kalau orang obsesi macam manapun kalau tidak ada karisma, cepat merajuk dalam politik dan mengkritik parti sendiri selepas tidak ada apa jawatan …tak boleh juga.
Kenapa guna ‘modal obsesi’ selepas ‘modal-modal’ serangan sebelum ini ibarat ‘peluru kapur’ sahaja apabila Anwar dan Kabinet tidak terasa ‘terkena badan’.
Atas sebab itulah, Rafizi perlu faham kalau nak tegur biarlah ketika berada dalam kerajaan, bukannya terpekik terlolong bagaikan ‘Pontianak tak dapat jejak tanah bila sudah berada di luar’. Seperkara lagi Rafizi kata, ketika dalam kerajaan tegurannya tidak didengari…jadi apa yang menyebabkan Rafizi yakin apabila sudah berada di luar kerajaan suaranya akan didengari?
Kesimpulannya kalau Rafizi mengatakan ‘’saya sangat gembira jika dapat bersara dengan tenang seperti orang lain, cukup sekadar untuk hidup dengan aman.Jadi, saya tidak memikul beban seperti beliau (Anwar) dan ahli politik lain yang seumpamanya.’’’….Maka penulis berpendapat bersaralah Rafizi…
Pergilah bergembira…cukup-cukup mengkriti parti dan kerajaan sendiri…bukan apa bimbang nanti podcast “Yang Berhenti Menteri -YBM’’ dianggap ‘Yang Banyak Merapu’ – tiada siapa akan peduli.


