SEORANG anggota tentera putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya merempuh pacuan empat roda di Jalan Pinang Jaya menghala ke Bukit Pinang, Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah menerima maklumat awam berhubung kejadian itu pada jam 2.40 petang semalam.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika pemandu pacuan empat roda berusia 29 tahun dikatakan berhenti untuk membuang sampah di tong sampah yang berada di tepi jalan itu.
“Selepas selesai membuang sampah, pemandu itu kemudian membuat pusingan U menyebabkan mangsa berusia 33 tahun melanggar pacuan empat roda itu.
“Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.
Syed Basri berkata, siasatan mendapati mangsa tinggal di Kem Tentera Darat Port Dickson di Negeri Sembilan manakala pemandu pikap itu bekerja sebagai pemandu kedai runcit dan beralamat di Kampung Padang Hassan, Bukit Pinang, Alor Setar.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pemandu pacuan empat roda itu tidak memiliki lesen dan kenderan itu adalah milik majikannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


