Anwar gesa AS bebaskan segera Presiden Venezuela dan isteri

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) membebaskan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores tanpa sebarang kelewatan tidak wajar.

Katanya, beliau mengikuti perkembangan di Venezuela dengan kebimbangan yang mendalam.

‘’Laporan mengenai penahanan pemimpin Venezuela dan isterinya dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat yang luar biasa dari segi skop dan sifat adalah amat membimbangkan.

‘’Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan tergolong sebagai penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang terhadap sebuah negara berdaulat,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.

Anwar berkata, apa pun alasan yang dikemukakan, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui tindakan luaran menetapkan satu precedent (dahuluan) berbahaya.

‘’Ia melemahkan kekangan asas terhadap penggunaan kekerasan antara negara serta menjejaskan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada ketertiban antarabangsa,’’ katanya.

Perdana Menteri menegaskan,  adalah hak mutlak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri.

‘’ Sejarah telah menunjukkan bahawa perubahan kepimpinan secara mendadak yang dipaksakan melalui campur tangan luar lebih banyak membawa kemudaratan daripada kebaikan — lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang sedia berdepan dengan kemelut ekonomi berpanjangan dan tekanan sosial yang mendalam,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau  berkata, Malaysia berpendirian bahawa penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara adalah teras kepada hubungan aman antara negara.

‘’Penglibatan secara konstruktif, dialog dan usaha meredakan ketegangan kekal sebagai laluan paling berwibawa ke arah penyelesaian yang melindungi orang awam serta membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa kemudaratan lanjut,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img