TIDAK sampai dua hari polis menjalankan operasi memburu seorang lelaki yang terlibat dalam kes curi kabel di Sungai Lalang, Semenyih, suspek akhirnya berjaya diberkas petang semalam.
Suspek yang merupakan pekerja swasta itu turut dikesan memiliki 17 rekod jenayah lampau ditahan di Semenyih kira-kira 1.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 31 tahun itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine ketika ditahan.
“Polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kes jenayah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/ 511 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Sarjan A Vaelmurgan di talian 019-611 1660 bagi membantu siasatan,” katanya.
Media pada Jumaat lalu melaporkan polis sedang memburu suspek cubaan mencuri kabel di Sungai Lalang, Semenyih selepas tular di media sosial.
Naazron dilaporkan berkata, satu laporan telah diterima pada pukul 2.08 petang mengenai cubaan mencuri kabel di kawasan terbabit yang dipercayai berlaku pada pukul 9.30 pagi.


