KEGIATAN penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik sebuah rumah banglo di Tanjung Lobang, Miri terbongkar selepas polis menyerbu premis berkenaan dan merampas 15,000 liter bahan api itu bersama pelbagai peralatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM131,079, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, empat lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 52 tahun turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai menyewa sebuah rumah banglo di lokasi berkenaan sebelum menjadikan kawasan sebelah rumah sebagai tempat pengumpulan minyak diesel bersubsidi.
“Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan ‘runner’ untuk membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Bandaraya Miri menggunakan tangki kenderaan persendirian dan tong ‘jerry can’.
“Minyak yang diperoleh kemudian dipindahkan ke dalam tangki yang disediakan di premis berkenaan sebelum dijual semula kepada sindiket pada harga yang dipersetujui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara barang yang dirampas ialah sebuah lori tangki berkapasiti 16,000 liter, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
Katanya, kes telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Miri untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan malah menjejaskan rantaian bekalan kepada pengguna tempatan.
Sehubungan itu, pengusaha stesen minyak di Bandaraya Miri diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan sindiket selain orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan berkenaan.






