Anwar ke China, perkukuh agenda ekonomi Malaysia di rantau Asia-Pasifik

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke China selama tiga hari bermula 18 hingga 20 November ini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33.

Lawatan itu dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di rantau Asia-Pasifik, khususnya dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik dan ekonomi global.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata, lawatan berkenaan merupakan kunjungan keenam Anwar ke negara itu sepanjang pentadbirannya, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam APEC mempunyai kepentingan strategik memandangkan negara merupakan antara 12 anggota pengasas organisasi itu sejak penubuhannya pada 1989.

“Sebagai tuan rumah APEC pada 2020, Malaysia menerajui penghasilan Visi Putrajaya APEC 2040 yang menggariskan aspirasi untuk membentuk komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040.

“Justeru, tema APEC kali ini boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada Visi Putrajaya APEC 2040,” katanya, lapor Buletin TV3.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah mesyuarat APEC sebanyak dua kali, iaitu pada 1998 dan 2020.

Dalam lawatan kali ini, Anwar dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada awal pagi 18 November sebelum disambut Duta Besar Malaysia ke China serta wakil kerajaan tempatan dan Kementerian Luar China.

Pada hari sama, beliau akan menyampaikan wacana bertajuk ‘Rethinking Openness, Building Shared Prosperity in the Asia Pacific’ pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC di Qinhai International Conference Centre.

Persidangan berkenaan dijadual dirasmikan Presiden China, Xi Jinping.

Anwar turut dijadual menghadiri Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), selain menyaksikan tiga pertukaran perjanjian perniagaan penting termasuk membabitkan Yinson Holdings Bhd.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-chiu dan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan dan Persembahan Kebudayaan AELM yang dihoskan Xi bersama isterinya, Peng Liyuan di Dewan Xingmi, Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen (SICC).

Seterusnya, pada 19 November, Anwar akan menyampaikan kenyataan negara pada AELM ke-33 yang membawa tema ‘Building an Asia Pacific Community to Prosper Together‘.

Beliau turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin ekonomi APEC bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.

Kemuncak lawatan itu adalah pertemuan rasmi Anwar dengan Xi di Rumah Tetamu Negara Qilin Villa, Shenzhen pada 20 November.

Pertemuan berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperluas pelaburan, pelaksanaan projek dua hala serta pemindahan teknologi tinggi bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Malaysia turut memberi penekanan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau menerusi penyertaan dalam APEC yang kekal sebagai antara rakan dagangan utama negara.

Pada 2025, jumlah dagangan Malaysia dengan ekonomi APEC mencecah RM2.43 trilion, bersamaan 79.7 peratus daripada keseluruhan eksport negara dan 79.5 peratus daripada jumlah import.

Sebagai antara perintis kepada Visi Putrajaya APEC 2040, Malaysia komited menyokong penghasilan lima dokumen utama dalam mesyuarat kali ini, termasuk deklarasi pemimpin serta rangka kerjasama baharu.

Dokumen berkenaan turut memberi tumpuan kepada aspek kesalinghubungan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan perdagangan bagi memperkukuh sistem perdagangan berasaskan peraturan yang lebih stabil.

Lawatan itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here