Anwar tidak kesal sokong Xi, tegas semula komitmen perkukuh hubungan Malaysia-China

DATUK Seri Anwar Ibrahim sama sekali tidak kesal memberikan sokongan penuh kepada Presiden China, Xi Jinping meskipun berdepan pelbagai tekanan, sambil menegaskan semula komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara berkenaan.

Perdana Menteri berkata, sokongan itu berasaskan keyakinannya terhadap kepimpinan Xi, khususnya keupayaan beliau menghimpunkan kuasa-kuasa besar dunia dan memupuk keamanan dalam suasana ketidaktentuan geopolitik pada masa kini.

“Itu sebabnya saya sama sekali tidak menyesal dengan keputusan memberikan sokongan penuh kepada anda sebagai pemimpin dunia yang hebat dan menjalin hubungan dua hala yang kukuh, meskipun berdepan apa jua tekanan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada mesyuarat dua hala bersama Xi di Qilin Villa State Guest House di Shenzhen, China semalam, lapor Bernama.

Anwar turut memuji Xi atas kejayaannya mempertemukan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang disifatkannya sebagai pencapaian sukar dilakukan oleh kebanyakan pemimpin dunia lain.

“Hanya Presiden Xi mampu melakukannya. Saya tidak tahu siapa lagi boleh berbuat demikian. Tahniah, kerana perkara ini amat bermakna. Negara-negara membangun seperti kami memandang tinggi kepada pemimpin yang memiliki kebijaksanaan dan keberanian untuk menghimpunkan ketiga-tiga pemimpin ini,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji kejayaan China menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 sambil berkata, Malaysia kagum dengan pembangunan infrastruktur berskala besar serta kelancaran keseluruhan penganjuran acara itu, termasuk layanan mesra diberikan kepada delegasi.

“Pertama, kita dapat melihat pembangunan infrastruktur yang begitu besar dan mengagumkan. Namun kali ini, Tuan Presiden, di bawah kepimpinan anda, keseluruhan pengurusan acara, daripada peringkat tertinggi hinggalah kepada petugas hotel, termasuk pelayan peribadi, amat mengagumkan,” katanya.

Beliau berkata, delegasi Malaysia turut menyatakan kekaguman terhadap pengurusan acara berkenaan dan berharap dapat mencontohi beberapa pendekatan yang dilaksanakan China di Malaysia.

Anwar berkata, lawatannya ke Shanghai dan Hangzhou pada September lepas yang turut menyaksikan beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri China Li Qiang, telah memperkukuh lagi hubungan dua hala, dengan kedua-dua negara kemudian bersetuju memperluas kerjasama dalam beberapa bidang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here