SELEPAS Melaka dan Johor memberi isyarat kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan pada tahun ini, Negeri Sembilan turut melakukan tindakan yang sama.
Bagaimanapun Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun perkara itu masih dipertimbangkan termasuk mengadakan PRN serentak dengan Melaka dan Johor.
“Kemungkinan itu ada … dalam parti politik ini, mungkin tahun ini atau tahun depan. InsyaAllah, kita tengok negeri jiran (Melaka dan Johor) bila pilihan raya (dan) mungkin kita sekalikan. Itu akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Seremban.
Tempoh akhir pentadbiran Negeri Sembilan ialah pada 24 Oktober ini manakala Melaka 30 Disember ini dan Johor 27 April tahun depan.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri sedang meneliti tarikh sesuai memandangkan jika pengumuman pembubaran tidak diadakan (sehingga tarikh itu) DUN akan terbubar dengan sendirinya.
Sementara itu, apabila ditanya jika PH Negeri Sembilan akan bergerak solo tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) pada PRN itu, Aminuddin berkata, keputusan itu tertakluk pada pimpinan pusat.
Katanya, walaupun terdapat pandangan kuat supaya PH negeri bergerak solo, namun landskap politik semasa boleh berubah mengikut keadaan dan hubungan antara parti juga tidak mustahil untuk kembali terjalin pada masa depan.
Pada PRN ke-15, BN menang 14 kerusi, PH 17 kerusi dan Perikatan Nasional lima kerusi.
PRN ketiga-tiga negeri itu menarik perhatian memandangkan Johor sudah mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN walaupun BN mempunyai kerjasama dengan PH di peringkat Kerajaan Pusat, di Melaka pula BN-PH bersama dalam kerajaan negeri manakala di Negeri Sembilan tercetus konflik antara kedua-dua parti itu.


