PIHAK Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi Saudi memperketatkan larangan tegas terhadap pengilangan dan penyimpanan produk makanan tanpa lesen sah sepanjang musim Haji, dengan memberi amaran bahawa pelanggar boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum SR10 juta (RM13 juta).
Dalam satu kenyataan media, SFDA menegaskan bahawa semua kilang dan gudang makanan wajib mematuhi sepenuhnya peruntukan Undang-Undang Makanan dan Peraturan Pelaksanaannya.
Agensi itu turut menekankan bahawa keselamatan makanan dan ubat-ubatan bagi jemaah haji merupakan keutamaan tertinggi, sambil mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran.
Menurut kenyataan itu, pengusaha dilarang menyimpan produk di luar kawasan premis berlesen serta tidak dibenarkan membuka semula fasiliti yang telah ditutup tanpa memenuhi semua keperluan kawal selia dan mendapat kelulusan rasmi daripada SFDA. Selain itu, sebarang aktiviti perdagangan produk yang melanggar piawaian dan syarat yang ditetapkan adalah dilarang sama sekali.
Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan SFDA untuk mempertingkatkan tahap keselamatan makanan dan melindungi kesihatan pengguna sepanjang musim haji. Agensi itu turut bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkuasa kerajaan bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah, selaras dengan arahan kepimpinan Arab Saudi.
SFDA menjelaskan bahawa pelanggar boleh dikenakan pelbagai tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga SR10 juta, hukuman penjara sehingga 10 tahun, larangan menjalankan aktiviti berkaitan makanan sehingga 180 hari, serta pembatalan atau penggantungan lesen bagi tempoh tidak melebihi satu tahun.
Dalam pada itu, SFDA menyeru semua premis makanan supaya mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan produk makanan di pasaran. Orang ramai juga digalakkan melaporkan sebarang pelanggaran melalui talian aduan rasmi 19999.
Undang-undang itu bertujuan untuk menjamin keselamatan makanan
Ia memastikan semua makanan yang dihasilkan, disimpan dan diedarkan adalah selamat dimakan, terutama ketika musim Hajiyang melibatkan jutaan jemaah.
Selain itu ia juga bertujuan melindungi kesihatan jemaah dengan jumlah manusia yang sangat ramai, risiko keracunan makanan atau wabak boleh meningkat. Undang-undang ini bertujuan mengurangkan risiko tersebut.


