KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan aspek keselamatan di projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru – Singapura berada pada tahap tertinggi menjelang pembukaan penuh sistem pengangkutan itu pada 31 Disember depan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura bakal menjadi pintu masuk darat paling sibuk negara apabila beroperasi kelak.
Justeru, menurut beliau, kerajaan bukan sahaja akan memberi perhatian kepada kemajuan fizikal projek yang kini sekitar 90 peratus siap, malah turut menumpukan kepada kkesiapsiagaan keseluruhan sistem operasi termasuk aspek keselamatan, teknologi, komunikasi dan sumber manusia.
“Kita tahu kawalan pintu masuk sempadan ini terdedah kepada pelbagai potensi ancaman keselamatan seperti pemerdagangan dan penyeludupan manusia, pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludup dan sebagainya.
“Jadi ketika kita mahu memastikan pergerakan itu lancar dan alirannya pantas, pada masa sama kita gunakan teknologi untuk memastikan setiap pergerakan direkod, dianalisis dan dipantau supaya tidak ada ruang langsung kepada pihak tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau persiapan fasiliti RTS Bukit Chagar di Johor Bahru hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
RTS Link adalah sistem rel ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer yang menghubungkan dua stesen iaitu Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.
Projek itu dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah ketika waktu puncak, sekali gus menjadi penyelesaian utama kepada kesesakan di Tambak Johor.
Saifuddin berkata, bagi memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara itu, RTS Link akan dilengkapi 18 unit mesin pengimbas bagasi, 22 unit mesin pengimbas badan dan 10 unit mesin pengimbas berteknologi millimeter wave.
Beliau berkata, semua sistem itu akan menggunakan teknologi pengesanan ancaman automatik (ATD) bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan pantas dan tepat tanpa menjejaskan aliran penumpang.
Selain itu, katanya, kawalan sempadan di RTS Link juga akan menggunakan sistem digital sepenuhnya menerusi pemasangan 220 unit e-gate yang siap dipasang.
“Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dijadual dilaksanakan pertengahan Jun ini bagi menggantikan sistem lama MyIMMs.
“Penggunaan teknologi itu membolehkan setiap pergerakan penumpang direkod, dianalisis dan dipantau secara masa nyata bagi mengekang ancaman seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kemasukan tidak sah,” katanya.
Mengulas kesiapsiagaan sumber manusia, Saifuddin berkata, 794 waran perjawatan sudah diluluskan membabitkan AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, seramai 478 pegawai lantikan baharu akan menjalani latihan operasi di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat bermula 22 Jun hingga 27 September sebelum ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar mulai 1 Oktober ini.
Katanya, Malaysia dan Singapura kini memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan konsep co-located CIQ yang membolehkan agensi penguat kuasa kedua-dua negara beroperasi dalam fasiliti sama.
“Langkah itu memerlukan kedua-dua negara mempunyai undang-undang domestik masing-masing sebelum operasi dilaksanakan sepenuhnya.
“Kita berada pada tahap koordinasi dan kepercayaan terbaik dengan Singapura untuk memastikan operasi RTS Link berjalan lancar, tersusun dan selamat,” jelas beliau.


