Pelajar parah dirempuh kereta masuk simpang, pemandu larikan diri

SEORANG pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera parah selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang dipercayai tiba-tiba masuk ke simpang di Jalan Semadong-Beseri, Pdang Besar, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Beseri ke rumahnya di Kampung Jalan Kaki Bukit, Beseri mengalami pendarahan di kepala, luka pada dagu serta patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta yang belum dikenal pasti di lokasi berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal melalui Jalan Bukit Merah, Semadong sebelum sebuah kereta dipercayai masuk ke simpang secara tiba-tiba.

“Akibat itu, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta terbabit sebelum terjatuh di atas jalan.

“Pemandu kenderaan berkenaan dipercayai meninggalkan lokasi kejadian sejurus selepas kemalangan dan identiti serta nombor pendaftaran kereta masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norsyahirah Sallehudin di talian 016-5876810 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img