BEKAS Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan dalam bentuk jawatan pengerusi dan faedah di syarikat lain.
Azeez, 60 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya faham (pertuduhan), tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan,” katanya
Sebelum itu beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Baling itu memasuki mahkamah pada 10.21 pagi dengan memakai baju lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) berwarna ungu dan bergari
Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Tabung Haji dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, mencadangkan beliau sebagai wakil dana haji itu dalam Lembaga Pengarah Putrajaya Perdana.
Jawatan itu didakwa disertakan dengan imbuhan tahunan sebanyak RM690,000 dan penggunaan sebuah BMW 7 Series serta pemandu.
Azeez turut didakwa mempengaruhi Lembaga Pengarah Tabung Haji untuk meluluskan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana, yang beliau didakwa mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Tabung Haji pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika disabitkan, Azeez boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Hakim Azura menetapkan ikat jamin sebanyak RM450,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.
Beliau turut memerintahkan Azeez melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 11 November depan untuk serahan dokumen.





