Bapa Dr Ainul berangkat ke Sarawak hari ini bantu proses ujian DNA

BAPA kepada Allahyarham Dr Ainul Baraah, 32, yang maut dalam nahas helikopter di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak akan berangkat ke Miri tengah hari ini bagi membantu proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Kamaruddin Salleh, 69, berkata, polis menghubungi keluarganya malam tadi memaklumkan akan mengambil sampel DNA bagi proses pengecaman jenazah anaknya.

Pesara guru itu berkata, pihak polis turut memintanya membawa barangan peribadi yang sering digunakan Allahyarham.

“Saya membawa berus gigi dan sikat rambut Allahyarham untuk diserahkan kepada pihak polis.

“Polis memaklumkan akan melakukan ujian DNA dan urusan lanjut sebaik saya tiba di sana.

“Saya kini berada di rumah besan di Bangi, Selangor dan dijangka berlepas ke Sarawak tengah hari ini.

“Sebarang perkembangan dan kedudukan suami Ainul juga saya tidak tahu, sama ada dia pergi ke lokasi kejadian atau menunggu di Miri. Namun, sebahagian keluarga sudah berlepas ke Sarawak pagi ini,” katanya, lapor BH.

Beliau turut memaklumkan sehingga kini, mereka sekeluarga masih berbincang mengenai lokasi pengebumian jenazah anak keempat daripada lima beradik itu.

“Saya akan buat mana yang terbaik dan berharap semoga urusan dipermudahkan. Sama ada dikebumikan di sana atau dibawa ke Kelantan,” katanya.

Media semalam melaporkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport) di Sarawak.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden berkenaan selain memaklumkan pihaknya menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul Baraah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afiq, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here