
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
MENELUSURI lipatan sejarah kita dapati bahasa Melayu adalah salah satu bahasa tertua di wilayah Nusantara ini.
Bahasa ini terbukti dengan penemuan antaranya prasasti, batu bersurat zaman kerajaan Sriwijaya di beberapa tempat seperti Kedukaan Bukit di Palembang bertarikh 683 Masihi, Batu Bersurat Talang Tuwo bertarikh 684 Masihi.
Kedua-duanya dalam bahasa Melayu kuno, bukan bahasa Indonesia dan bukan bahasa “Malaysia”. Indonesia dan Malaysia belum pun wujud lagi.
Seperti diakui oleh banyak pengembara dan sarjana barat, Valentijn, yang melawat Melaka pada awal abad 18 mengakui bahasa Melayu tersebar dari Filipina hingga ke Parsi dan seterusnya manakala pengembara Ibnu Batutta lebih awal singgah di Palembang dan Jawa semasa kembara ke negeri China.
Ban Huygen Linschoten pula mengatakan bahasa Melayu digunakan dalam pelbagai ranah kehidupan dahulu seperti perdagangan, undang-undang, pelayaran dan sebagainya.
Bahasa Melayu menyatukan penghuni, pedagang dan pelayar di nusantara Kepulauan Melayu dan juga yang datang dari pelosok dunia lain seperti Eropah, Champa, Timur Tengah dan Afrika.
Pedagang dari China berdagang di Jawa menggunakan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Jawa. Bahasa Melayu diibaratkan seperti bahasa Latin, Perancis di Eropah. Mereka yang tidak tahu bahasa Melayu dianggap jahil. Jelas bahasa Melayu menjadi bahasa global (lingua franca) ketika itu khasnya semasa kegemilangan empayar Melaka sebagai pusat perdagangan global.
Daripada segi khazanah ilmu pula, bahasa Melayu telah mengarang ribuan ilmu yang menyumbang dan memperkaya kepustakaan Melayu dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, pentadbiran, undang-undang, perubatan dan lain-lain.
Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang Inderagiri, kitab tasawwuf karya Hamzah Fansuri, syair-syair pelayaran yang memandu pelayar di lautan, karya Nuruddin ar-Raniri, Shamsuddin al-Sumaterani dan lain-lain adalah antara bukti kepustakaan Melayu pelbagai bidang telah terhasil pada zaman silam.
Malah kapal Portugis “Flor de Lamar” yang dikatakan tenggelam(?) membawa ribuan naskah kitab Melayu untuk dibawa ke Eropah. Ribuan juga naskah Melayu lain yang masih tersimpan di perpustakaan universiti di London, Leiden, Belanda dan Moscow, Rusia.
Siapakah yang membawa ribuan kitab tersebut ke sana dan pastinya jika tiada nilai ilmu yang tinggi mustahil kitab berbahasa Melayu sanggup dibawa ribuan batu sehingga ke benua Eropah, Rusia dan Belanda di sana sedangkan itu adalah kitab, bukan berupa emas berkarung-karung.
Malangnya kini selepas 70 tahun merdeka bahasa Melayu yang dahulunya dipandang tinggi termasuk pendeta di Eropah kini semacam lemas di lautan dan hampir kehilangan roh.
Ini bukan kerana bahasa Melayu itu tidak lagi mampu menjulang ilmu tetapi kerana bangsa dan pemimpinnya sendiri yang meragui maruah dan martabatnya. Minda yang belum merdeka masih menjunjung bahasa Inggeris.
Walaupun bahasa Melayu dijanjikan status, maruah dan martabatnya dalam Perlembagaan Perkara 152 sejak 1957 sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tetapi kita dan pemimpin sendiri yang mengkhianatinya secara sengaja dan tidak sengaja.
Buktinya bahasa Melayu masih terluka selama 70 tahun ini. Adakala lukanya dibalut tetapi dihiris kembali dan ada luka yang terus dibiarkan bernanah menjadi busung dan sopak.
Disenaraikan di bawah beberapa kepahitan, luka parah sebuah bahasa yang bernama “Melayu”.
- Bahasa Melayu gagal menjadi bahasa ilmu sepenuhnya walaupun negara merdeka 70 tahun. Walaupun Penyata Razak menetapkan tempoh masa peralihan 10 tahun sahaja (1957-1967) untuk bahasa Melayu mantap sebagai bahasa penghantar ilmu tetapi tiada langsung keberanian berterusan oleh pemimpin ketika itu juga kini untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Bahasa Inggeris masih dijulang dengan asakan dan dokongan saki baki golongan elit dan anglophile yang terus kemabukan.
- Nama bahasa Melayu masih tertulis sebagai bahasa Malaysia di banyak tempat, dokumen dan mesin banktermasuk dalam pengumuman dan ucapan lisan. Istilah bahasa Malaysia bertentang dengan catatan dalam Perlembagaan dan berupaya “memadam” sejarah panjang bahasa Melayu di nusantara ini. Semacam ada rasa mual dengan namanya yang benar dan sahih tersebut.
iii. Tulisan jawi yang berupa tulisan asal bahasa Melayu dan diiktiraf dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan undang-undang tetapi belum diiktiraf seperti yang sepatutnya. Tulisan jawi boleh digunakan dan diajar tetapi masih ditentang secara terang-terangan dalam sistem pendidikan seolah-olah ada kebencian oleh segolongan besar rakyat negara ini. Mereka jelas terlihat berminda sempit dan seperti kehilangan akal yang rasional yang boleh menyerlah sikap rasis dan kiasu.
- Bahasa Inggeris masih kelihatan bermaharajalela walaupun dalam majlis dan acara rasmi kerajaan termasuk mesyuarat menteri, kabinet, universiti dan seumpamanya walaupun sesekali terdengar bisikan halus Perdana Menteri untuk menghormati bahasa Melayu, bahasa negara tetapi seperti bercakap di telinga badak sahaja.Jelas bahasa Melayu dilihat terpinggir secara sengaja.
Dalam sidang Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ahli Parlimen tiada lagi memohon izin untuk ungkapan bahkan frasa lengkap berbahasa Inggeris. Mereka macam bersidang di London atau bersembang di kedai kopi sahaja dengan bahasa dan adab susila yang turut sama larut dengan air di dalam cawan.
- Mahkamah masih selesa dengan bahasa Inggeris walaupun di sinilah rakyat berharap tertegaknya undang-undang berikutan dengan Fasal152.Hanya semasa Almarhum Tun Abdul Hamid Omar, bahasa Melayu sedikit bernafas seolah-olah bahasa Melayu mengharap inisiatif individu Ketua Hakim Negara dan bukannya atas dasar undang-undang itu sendiri.
- Sehingga 70 tahun merdeka teks sahih Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara masih diakui teks yang berbahasa Inggeris. Ini terlihat ganjil walaupun difahamkan bahawa Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong 10 tahun dahulu telah memberi perkenan baginda agar teks bahasa Melayunya yang disahihkan.
Akibat kurang prihatin (?) tertangguhlah 10 tahun lamanya sehingga diberitakan ada kumpulan cerdik pandai hukum pun telah mula mengambil langkah untuk menghalang usaha tersebut. Jika ada istilah yang difikir kurang tepat istilah Inggeris atau Latin khususnya masih boleh digunakan.
Kita percaya keadilan ada dalam semua bahasa dan di semua mahkamah dalam dunia, Jerman, Perancis, Rusia, Sepanyol, Jepun, Korea. Bukanlah mahkamah di London sahaja yang adil. Keadaan di negara ini terlihat semacam ada suatu sikap yang aneh terhadap bahasa negara sendiri. Benarkah kita sudah merdeka?
vii. Kewujudan sekolah antarabangsa pada asalnya untuk kepentingan anak staf kedutaan luar negara dan ekspatriat. Atas desakan dan kehendak golongan elit dan anglophile akhirnya dibenarkan sejumlah anak warganegara belajar di sini.
Jumlahnya yang sedikit akhirnya bertambah-tambah. Kurikulumnya tidak berpaksi kepada budaya dan akar di sini. Bahasa Melayu juga tidak diajar atau sekadar tempelan sahaja. Maka rebung itu membesar menjadi buluh yang berjiwa asing dan bahasa Melayu, budaya timur menjadi asing kepada mereka.
viii. Sistem penamaan dan penjenamaan asing berleluasa hampir di seluruh negara terutama di bandar tanpa terkawal bagi perumahan, kompleks niaga, produk dan lain-lain walaupun ada undang-undang kecil di atas kertas di samping ada ruang yang lompong untuk mana-mana pihak atau pemaju dan syarikat bagi mengelak diri daripada menggunakan nama berunsur tempatan, berjati diri dan bercitra negara ini.
Maka wajah perumahan, kondominium, kompleks niaga mega, produk tempatan seperti makanan dan lain-lain berwajah asing atau berasal dari London, New York, Hongkong, Taipeh, Tokyo. Tiada sekelumit pun rasa bangga terhadap bahasa negara sendiri.
- Masih terdapat beberapa tempat, bandar di negara ini masih kekal dengan nama penjajah seperti George Town, Butterworth,Port Dickson dan lain-lain. Cukup bangga sekali orang kita dengan nama tersebut, terlupa bahawa Jesselton, Port Swettenham, Teluk Anson, Bukit Maxwell sudah tidak dikenali lagi kerana telah menjadi Kota Kinabalu, Pelabuhan Kelang, Teluk Intan, Bukit Larut. Tiada masalah atau kapal laut dan kapal terbang yang sesat tidak dapat berlabuh dan mendarat.
- Setelah PPSMI dimansuhkan secara “soft-landing”, golongan anglophile berjaya “menyelinap” menggantikan PPSMI dengan DLP yang kononnya bukan dasar tetapi hanya sebuah “program”.
Maka pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan telah berjaya dilaksana selama kira-kira 30 tahun (sejak 1970 hingga 2003), iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu dari sekolah rendah hingga di universiti dalam pelbagai bidang sains sosial, sains, teknologi, perubatan, farmasi, kejuruteraan, komputer, ekonomi, perakaunan hancur dalam sekelip mata.
Walaupun ada usaha kecil oleh kerajaan sendiri melalui DBP dan agensi lain seperti Gerakan Cintai Bahasa Kebangsaan 1987, tetapi umpama pokok yang diberi baja tetapi disirami air beracun maka pohonya akan mati juga akhirnya.
- Selama 70 tahun DBP hanya berkuasa menasihat, mendidik agar kementerian, jabatan, sektor awam dan swasta mencintai, mengguna pakai dan memartabat bahasa Melayu dalam urusan rasmi.
Tiada kuasa mendenda. Akibatnya DBP diperlekeh dan nasihat serta didikannya dipandang remeh. Maka pindaan telah dibuat bagi akta DBP tetapi masih tertangguh juga hampir 10 tahun juga walaupun pindaan akta lain terlihat lebih pantas pelaksanaannya.
DBP juga sejak 1980-an turut berusaha mengembangkan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu ke peringkat antarabangsa melalui seminar dan persidangan dalam dan luar negara dengan sumber kewangan yang terhad. DBP juga turut menerbitkan buku-buku pelbagai bidang serta majalah secara berkala walaupun pemasaran agak terhad kerana kekangan kewangan dan sumber manusia.
xii. Kelonggaran undang-undang atau pengecualian yang wujud dalam undang-undang atau akta yang memberi kuasa kepada pihak tertentu atau menteri bagi pengecualian untuk menggunakan bahasa Inggeris khususnya, misalnya bagi institusi pendidikan.
Hal ini pastinya melemahkan bahasa Melayu, membuka ruang dan mudah disalahgunakan sedangkan kekecualian seperti dalam hukum tertentu hanya diberi dalam keadaan genting atau darurat dengan syarat-syarat tertentu pula dan berperingkat, bukannya dalam keadaan biasa-biasa.
“Kekecualian” menjadi lesen mudah untuk menggunakan bahasa lain. Malah institusi yang melanggar Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan pun diberi bantuan juga walaupun tidak selayaknya. Makin menjadi-jadilah kaduk yang sudah menaiki junjung.
xiii. Keputusan mahkamah dalam kes sekolah vernakular dipercayai memberi kesan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan bahasa penghantar ilmu kerana alasan diberi, bahawa sekolah vernakular bukan badan awam justeru bolehlah menggunakan bahasa lain.
Anehnya, bagaimana dengan pembiayaan selama ini oleh pihak kementerian sedangkan itu adalah bukan badan awam iaitu bukan badan kerajaan?
Maka dengan rendah hati penulis mencadangkan beberapa tindakan yang wajib diambil jika kita benar-benar ikhlas, jujur untuk memartabatkan bahasa Melayu seperti janji dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, maka kita terus mengkhianati Perkara 152, undang-undang tertinggi negara:
- Bahasa Melayu wajib sebagai bahasa penghantar di semua jenis dan peringkat institusi pendidikan di Malaysia tanpa kekecualian sama ada sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti.
Tegasnya sistem pendidikan satu aliran disediakan tetapi subjek pelbagai bahasa mengikut kesesuaian disediakan untuk pilihan pelajar selain bahasa Inggeris yang wajib dipelajari. Hanya institusi yang patuh kepada sistem pendidikan kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan wajib dibiayai. Ingatlah, kita sudah 70 tahun merdeka.
- Istilah betul dan rasmi untuk ditulis, diungkap ialah “bahasa Melayu”, bukan “bahasa Malaysia”.Pihak bank, sektor awam dan swasta wajib perbetul istilah ini dalam semua dokumen dan mesin dan sebagainya. Istilah bahasa Malaysia diharamkan.
- “Haramkan” penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi, domestik sektor awam dan swasta dan penggunaan secara tunggal dalam majlis bersifat antarabangsa.Bunyinya macam agak keras, tetapi kerana tidak dibuat begitulah, 70 tahun isu bahasa Melayu masih belum selesai, tetap merana di negara ini. Menggunakan bahasa negara sendiri dalam majlis antarabangsa tidak ganjil bagi banyak negara.
Hanya di negara kita sahaja bahasa Inggeris yang “dihegeh-hegehkan” akibat minda yang masih mabuk dan belum merdeka. Sudah tiba masa untuk kita raikan kemudahan penterjemah dan sebagainya yang ada dan sekaligus kita membangun dan memajukan industri terjemahan di negara ini. Biarlah terlambat daripada tidak langsung berbuat apa-apa.
- Tulisan jawi sebagai satu bentuk tulisan malah tulisan asal bahasa Melayuhendaklah dimartabatkan dengan cara digunakan dalam semua papan tanda nama tempat, bandar, jalan, dokumen serta surat-menyurat tertentu dan sebagainya.
Inilah satu usaha merakyatkan dan mempopularkan tulisan jawi dan selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang tidak pun melarang tulisan Jawi digunakan. Dengan itu juga diharap rasa fobia terhadap tulisan jawi dapat dikurangkan kerana dapat dilihat dalam persekitaran ekologi bahasa bahawa itulah jawi, salah satu daripada tulisan bahasa Melayu seperti hiragana, katakana, janji dan “romaji” (rumi) bagi bahasa Jepun.
- Mahkamah sebagai pusat kuasa tertinggi perundangan wajib menjadi teladan dengan menggunakan bahasa Melayu di semua peringkat mahkamah, rendah, tinggi, rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Tempoh 70 tahun sudah teramat panjang untuk sebarang kelonggaran atau penundaan yang tentunya tidak akan berkesudahan. Ganjillah jika mahkamah sebagai institusi tertinggi perundangan sendiri tidak menghormati undang-undang, akta berkaitan bahasa Melayu, bahasa rasmi.
6 . Difahamkan versi bahasa Melayu Perlembagaan’ Persekutuan telahpun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin kira-kira 10 tahun yang lalu. Entah apa sebab dan silapnya(?) terbiar diam tanpa sebarang usaha oleh pihak berkenaan atau Jabatan Peguam Negara.
Jika telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong maka mengikut logiknya tidak perlulah lagi perkenan baru atau usaha lain termasuk untuk dibawa ke kabinet kerana perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah utama dan tentunya mengatasi Jemaah Kabinet.
Justeru tindakan yang perlu mungkin hanya perisytiharan “rasmi dan terbuka” bagi pengetahuan semua rakyat Malaysia yang cinta akan negara ini bahawa teks Perlembagaan Persekutuan yang sahih dan sah kini adalah teks berbahasa Melayu dan bukannya teks Inggeris. Patik dan semua rakyat menjunjung kasih akan perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dan Majlis Raja-raja Melayu dalam hal ini.
Sesiapa sahaja yang menentang perkenan Tuanku tersebut dapat dianggap menderhaka kepada Duli Tuanku dan sewajarnya diberi hukuman yang berat. Ingatlah Rukun Negara yang kedua, kesetiaan kepada Raja dan negara. Pengisytiharan terbuka tersebut diharap segera dibuat, selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan kerana selama 10 tahun penantian ada yang mungkin cuba menangguk di air keruh.
- Kuatkuasakan undang-undang tanpa kecuali bahawa sekolah antarabangsa hanya untuk anak-anak kedutaan asing di Malaysia dan ekspatriat sahaja.
- Penamaan taman perumahan, kondominium, kompleks niaga, produk hanya dengan nama berjati diri negara ini.Cukai khas yang tinggi dan berganda-ganda wajib dibayar jika masih degil dan mahu menggunakan nama asing sekalipun bersekali dengan nama dalam bahasa Melayu dan itupun hanya dengan kelulusan semua (100%) ahli Lembaga Pengelola DBP sahaja.
- Semua bandar yang masih mengekalkan nama berbau penjajah wajib ditukar kepada namanya yang asal, berjati diri negara ini seperti George Town kepada Tanjung, Butterworth kepada Bagan dan lain-lain. Pensejarahan negara ini wajib dirujuk, dihormati dan digunakan. Telah banyak bandar, tempat di negara ini, negara lain, malah nama negara ditukar kepada nama yang lebih bernilai dengan sejarah tempatan.
- Gerakan “Saya Anak Malaysia, Cinta Bahasa Kebangsaan”.Gerakan ini boleh mengikut model Gerakan Cintai Bahasa Kebangsaan 1987 dahulu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir, tetapi diubah suai dengan keadaan dan teknologi terkini.
Gerakan ini bukan sahaja di peringkat pusat, kementerian dan jabatan Persekutuan tetapi melibatkan kerajaan dan agensi peringkat negeri, semua pihak berkuasa tempatan. Mungkin seolah-olah kempen awal tahun 60-an dahulu tetapi itulah akibatnya apabila isu bahasa dibiar berlarutan selama 70 tahun tanpa ditangani secara bersungguh.
Maka terpaksalah kita kembali ke era awal merdeka sambil menghayati lagu “Bahasa Jiwa Bangsa”.
- Mansuhkan program “Dual-Language Programme” (DLP) dengan segera, selewat-lewatnya awal 2026 dan bukan secara berperingkat atau “soft-landing” yang memberi ruang risiko tinggi untuk berulangnya tragedi DLP mengganti PPSMI.
Memang diakui kemungkinan ada sedikit kesan atau mangsa peralihan bahasa pada peringkat awal. Tetapi kesan adalah dijangka minimum bagi peralihan daripada bahasa asing yang kurang difahami kepada bahasa Melayu yang lebih difahami, merakyat dan “membumi” ketimbang perubahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris seperti mula-mula pelaksanaan PPSMI dahulu yang dilaksana secara serta-merta.
Peranan terpenting bahasa Melayu ialah sebagai penyebar ilmu pengetahuan, bukan sekadar bahasa perpaduan atau bahasa komunikasi harian, sembang kosong di pasar dan warung.
Justeru program DLP sebagai kunci kebal yang boleh menutup pintu ilmu bahasa Melayu wajib dimansuhkan segera. Bahasa Melayu perlu disirami baja usaha terbaik untuk menyuburkan peranannya dan disirami air bersih untuk keberkesanan. DLP kini adalah air beracun yang bisa membunuh pengembangan bahasa Melayu di negara ini. Wajib dibuang.
- DBP perlu diberi kuasa secara sah untuk memperkembang bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di peringkat antarabangsa agar dapat bergerak lebih aktif dan berkesan walaupun telah melaksanakan tugas tersebut.
DBP juga hendaklah dibenarkan menubuhkan agensi, atau cawangan sayap perniagaannya atau anak syarikat seperti badan berkanun yang lain agar dapat menjana kewangan sendiri bagi membiayai segala perancangan dan kegiatannya. Peruntukan sekarang yang mungkin terhad boleh memandulkan DBP.
Kementerian Pendidikan juga sewajarnya mewajibkan semua sekolah melanggan secara tetap terbitan berkala, bulanan oleh DBP yang sememang bermutu tinggi untuk digunakan di institusi masing-masing.
DBP juga perlu diberi fungsi sah seperti Agensi Kelayakan Negara (AKN/MQA) yang menjadi dapat pengawal tunggal mutu serta piawai berkaitan kursus bahasa Melayu dan pemberi lesen tunggal kursus bahasa Melayu di negara ini.
Akhirnya, tentulah menjadi harapan jutaan rakyat yang tulen mencintai negara ini agar bahasa Melayu berfungsi sepenuhnya seperti bahasa Jepun, Korea, Rusia, Turkiye, Mandarin, Jerman, Perancis, Sepanyol di negara tersebut. Kita tidak pun meminta lebih daripada itu.
Kita juga tidak meminta bahasa asing dibuang terus tetapi dalam apa keadaan sekalipun, bahasa Melayu janganlah sesekali dibuang.
Gunalah sama ada secara tunggal, bersama-sama atau serentak dengan bahasa lain menurut kesesuaian keadaan, majlis dan tidak seperti keadaan sekarang yang kerapnya dibuang atau hanya sekadar menyebut sepatah dua kata semasa pembukaan dan penutup, selamat datang, terima kasih, sekian. Selama 70 tahun cukupkah sekadar itu sahaja martabat bahasa negara?
Bahasa Melayu kerapnya tidak digunakan langsung dalam majlis antarabangsa atau “dikemudiankan”. Kita akui pastinya kemahiran dwibahasa atau pelbagai bahasa lebih baik daripada bersifat ekabahasa atau “monolingual”. Penggunaan penterjemah, teknologi terjemahan yang dimanfaatkan, sekaligus akan memajukan industri terjemahan di negara kita.
Konsep bahasa Melayu didahulukan tetapi bahasa lain yang perlu dihormati, digunakan dengan syarat “dikeduakan”. Konsep itulah juga yang digunakan oleh semua negara tersebut yang benar-benar menjaga martabat dan maruah bahasa negara sendiri. Mereka menjulang tinggi bahasa negara tanpa menafikan kepentingan mana-mana bahasa asing lain.
Seperti dinyatakan penulis pada awal tadi sekadar menyebut dua tiga ungkapan bahasa Melayu pada permulaan ucapan amatlah tidak memadai untuk menghormati bahasa Melayu selepas 70 tahun merdeka. Apatah lagi bagi sebuah bahasa negara yang besar sejak abad kedua Masihi dan kini bahasa kelima terbesar di dunia.
Semua cadangan penulis tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa atau teramat sukar dan mustahil untuk dilaksanakan tetapi cuma memerlukan iltizam yang luar biasa dan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas.
Itulah juga yang sebenarnya dilaksanakan oleh semua negara yang mungkin kita anggap “taksub” bahasa sendiri sedangkan mereka tetap menguasai banyak bahasa asing. Cuma mereka sedar bahasa mana yang patut dijunjung dahulu dan bahasa mana dikendong.
Biarlah kalaupun kita dianggap taksub kepada bahasa sendiri, jangan sesekali taksub kepada bahasa negara lain. Usaha tersebut ada yang boleh dilakukan segera dan ada yang perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pandai-pandailah mereka yang bijaksana melakukannya demi memartabatkan bahasa dalam amalan dan bukan sekadar teori atau retorik kosong.
Yang terpenting ialah keberanian pemimpin untuk melakukannya dan langkah yang beribu batu itu tentunya bermula dengan langkah pertama, langkah satu. Walau bagaimanapun memandangkan negara sudah 70 tahun merdeka tentunya tidak memadai kita bermula dengan satu dua langkah sahaja secara beransur-ansur lalu kemudiannya berhenti.
Pepatah Melayu sudah lama mengingatkan kita juga pemimpin, kerja bertangguh tak menjadi, kerja beransur tak bertahan. Akhirnya ditinggalkan separuh jalan atau sekadar melepas batuk di tangga. Jadilah kita umpama Pak Kaduk. Ayamnya menang, kampung tergadai.
Sebagai rakyat Malaysia kita wajib berusaha dan mendoakan usaha memartabat bahasa negara kita tercapai sepenuhnya, menjulang di langit sini dan menerobos seantero dunia.
Sebarang penentangan terhadap usaha tersebut dapat memberi gambaran bahawa kita kurang senang atau tegasnya benci kepada bahasa negara sendiri.
Dirgahayu bahasa negaraku. Bahasa Jiwa Bangsa.
*Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu.


