Banjir besar di Nepal: 11 rakyat Malaysia terputus hubungan

SEBANYAK 11 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan selepas dipercayai berada di daerah Rasuwa, Nepal, yang dilanda banjir besar akibat limpahan air Sungai Bhote Koshi, awal pagi tadi.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima laporan daripada agensi pelancongan bahawa pihak mereka terputus hubungan dengan 11 warganegara Malaysia yang dipercayai berada di kawasan terjejas.

“Kehilangan komunikasi ini dipercayai berpunca secara langsung akibat gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik yang disebabkan bencana berkenaan.

“Pihak Kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang kini dikerahkan kerajaan Nepal bagi mengesan warganegara Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” kata kenyataan dikeluarkan kementerian itu.

Banjir besar yang berlaku di daerah Rasuwa turut mengakibatkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur tempatan, termasuk jalan raya, jambatan dan rangkaian komunikasi di kawasan terjejas.

Kementerian Luar Negeri turut menasihatkan warganegara Malaysia yang berada atau melakukan perjalanan di Nepal, khususnya berhampiran kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.

Kementerian juga menggesa warganegara Malaysia mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular.

Menurutnya lagi, kementerian akan terus memantau perkembangan insiden berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini sebaik menerima maklumat sahih mengenai 11 warganegara Malaysia terbabit.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here