LELAKI yang dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot di Kampung Batu Putih, Kinabatangan, ditemukan kira-kira 500 meter di hilir sungai dari lokasi kejadian awal pagi tadi.
Mangsa, Rusli Mardin, 57, ditemukan penduduk pada jam 4.45 pagi sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, keadaan anggota badan mangsa masih lengkap ketika ditemukan namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.
“Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa dari tebing sungai ke rumahnya,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Rusli dipercayai dibaham seekor buaya ketika mencuci bot di sungai berkenaan dan kejadian itu disaksikan sendiri anaknya.
Suriyadi berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 8 pagi tadi selepas pihaknya memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.






