BARU seminggu dibebaskan dari penjara, seorang lelaki kembali ditahan polis selepas dipercayai memecah masuk sebuah kilang sebelum melarikan sebuah pikap bernilai RM80,000 di Taman Kempas, Sungai Petani, semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 31 tahun itu diberkas selepas dikejar polis yang terpaksa melepaskan tiga das tembakan bagi menghentikan tindakannya.
Beliau berkata, polis menerima laporan pada jam 10.20 pagi selepas pekerja kilang menyedari premis di Taman Perindustrian Ringan, Taman Kempas Utama dipecah masuk kira-kira jam 7.50 pagi.
Katanya, hasil rondaan pada jam 5.30 petang hari sama, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah terserempak sebuah pikap di Sungai Lalang yang sepadan dengan kenderaan dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, nombor pendaftaran pikap itu sudah ditukar sebelum pemandunya bertindak memecut selepas diarahkan berhenti.
“Suspek melarikan diri sehingga berlaku aksi kejar menuju ke kawasan ladang Thai Seng, Bukit Selambau,” katanya pada sidang media sempena program bersama Kelab Media Elite Kedah (KMEK), lapor Harian Metro.
Adzli berkata, suspek turut melanggar kenderaan orang awam dan merempuh kenderaan polis sebelum berjaya ditahan tanpa mengalami kecederaan.
Pemeriksaan terhadap suspek menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan mencuri kabel, termasuk kuku kambing.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, manakala semakan rekod menunjukkan dia mempunyai lapan rekod lampau membabitkan empat kes jenayah dan empat kes dadah.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan kenderaan untuk digunakan dalam kegiatan jenayah lain, khususnya mencuri kabel,” katanya.
Beliau berkata, suspek turut mengaku mempunyai seorang rakan sejenayah yang masih diburu polis.
Suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.





